Perhimpunan agung Umno 2017 bermula hari ini dengan majlis perasmian oleh Presiden parti Datuk Seri Najib Razak di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Acara perhimpunan dimulakan dengan upacara perbarisan dan menaikkan bendera UMNO, Sang Saka Bangsa diiringi lagu parti "Bersatu, Bersetia, Berkhidmat" yang bergema di Plaza Merdeka, sebelum acara beralih ke Dewan Merdeka.
Najib, yang juga perdana menteri, kemudiannya akan menyampaikan ucapan dasar presiden di hadapan 2,761 anggota perwakilan.
Sebelum ucapan dasar, satu laporan kewangan dan keanggotaan dibentangkan oleh Bendahari Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Suasana di PWTC, yang menjadi venue parti terbesar orang Melayu dengan keanggotaan kira-kira 3.5 juta orang, ibarat lautan merah apabila anggota perwakilan memakai baju Melayu dan baju kurung berwarna merah, lambang kekuatan dan keperkasaan solidariti parti.
Perhimpunan agung ini berlangsung selama lima hari sejak Selasa.
Sementara itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. berkata mantan Pemuda Umno merupakan aset penting kepada parti kerana sumbangan dan peranan mereka sememangnya amat besar bagi memastikan parti itu terus relevan sehingga kini.
Zahid, yang menjalankan tugas timbalan presiden, berkata bagi mengekalkan kelangsungan parti, mantan Pemuda Umno diminta mengetepikan sifat ‘assabiah’ dan semangat ‘kabilah’ serta bersama-sama mencurahkan segala ilmu pengetahuan yang ada kepada pemimpin-pemimpin muda.
"Biarpun ada tembok mahupun kubu menghalang tapi apabila bertekad, kita wajib tentukan kemenangan," katanya ketika merasmikan Perjumpaan Mantan Pemuda di ibunegara malam tadi.
Majlis itu turut dihadiri Naib Presiden Umno merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Dalam pada itu, Zahid meminta perjumpaan seperti itu diperluaskan kepada mantan kepimpinan Pemuda dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang akan turut memberikan semangat kekitaan dalam diri anggota komponen BN.
Hishammuddin dalam ucapan ringkasnya menyeru bekas-bekas Pemuda mencurahkan pengalaman kepada orang muda selain merapatkan saf dengan membantu calon-calon BN beroleh kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.
Majlis berbentuk santai yang diadakan sempena perhimpunan agung Umno 2017 itu bertujuan mengeratkan kembali hubungan silaturahim sesama rakan seperjuangan semasa bergiat dalam Pergerakan Pemuda Umno.
Perjumpaan mantan Pemuda itu merupakan edisi ke-4 yang mana kali pertama program tersebut diadakan sempena perhimpunan agung Umno 2014.
Perhimpunan agung Umno 2017 berlangsung bermula 5 Disember hingga Sabtu ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
- Bernama
