Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Ini pantun saya Saudara Anwar, dengar ya
Diterbitkan:  Dec 7, 2017 12:20 PM
Dikemaskini: 6:49 AM

PAU2017 l Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mendakwa keikhlasan beliau sekeluarga melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di hospital tidak mendapat penghargaan sewajarnya.

Malah, katanya, lawatan beliau dan isterinya Rosmah Mansor diperli dengan serangkap pantun.

“Yang seorang lagi pula, saya berziarah ke hospital melawat beliau yang sedang sakit, atas sifat kenalan lama.

“Saya hanya melawat, sebab itu saya bawa isteri bersama. Tapi keikhlasan kami itu, tampaknya diperli dipantun pula,” katanya.

Selepas lawatan itu, Anwar di Facebook menulis mengubah suai baris terakhir pantun Melayu lama, seperti berikut:

Tuai padi antara masak,
esok jangan layu-layuan;
ziarah kami antara nampak,
esok pilihan raya lawan tetap lawan.

Bercakap di ribuan anggota parti dalam perhimpunan agung Umno di ibu negara hari ini, Najib membalas pantun Anwar itu.

“Ini jawapannya Saudara Anwar, Dengar ya...”

Burung merpati terbang sekawan,
hinggap seekor di atas dahan;
kita sahut ‘lawan tetap lawan’,
Di pilihan raya bertarunglah seperti anak jantan.

Najib dan Rosmah pada 17 November lalu melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini dan mendoakannya cepat sembuh di Twitter.

Anwar dirawat selepas menjalani pembedahan di bahu selepas terlibat dalam kemalangan pada 22 September lalu dalam kenderaan penjara.

Lihat Komen
ADS