Paling Popular
Terkini

DAP masih berpendapat Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah calon paling sesuai untuk diangkat menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bercakap kepada media di Putrajaya hari ini Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke berkata setakat ini pendirian parti berkenaan masih sama - menjadikan Anwar sebagai pilihan untuk diangkat ke jawatan berkenaan.

Loke juga membayangkan ada jalan untuk membawa Anwar menjadi perdana menteri.

"Anwar akan dibebaskan selepas Jun (2018). Jadi jika HARAPAN mendapat kuasa, keutamaan kami ialah supaya beliau diberi pengampunan, dan selepas itu sepatutnya boleh bertanding (dalam mana-mana pilihan raya kecil).

"Beliau sepatutnya menjadi anggota parlimen untuk membolehkan dilantik sebagai perdana menteri," katanya.

Enggan ulas lanjut

Loke bagaimanapun mengakui sebelum ia dapat dilakukan, seorang perdana menteri sementara perlu dilantik mengisi jawatan berkenaan.

Katanya isu berkenaan sudah dibincangkan dalam DAP dan HARAPAN.

"Kami sudah ada calonnnya," kata Loke.

Bagaimanapun anggota parlimen Seremban itu enggan mendedahkan sama ada calon yang dimaksudkannya itu ialah Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum ini seorang pemimpin PKR mengesahkan pemukinan HARAPAN baru-baru ini menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri jika BN berjaya dikalahkan dalam PRU ke-14 nanti.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizan Wan Ismail pula dinamakan sebagai timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun pemilihan itu didakwa sesetengah pihak belum muktamad, manakala ada kumpulan lain menolaknya.

Kata Loke persoalan mengenai calon perdana menteri adalah sesuatu yang dibincangkan secara tertutup sesama pemimpin HARAPAN dan tidak akan didedahkan kepada media.

Apabila ditanya sama ada DAP turut melobi untuk mendapatkan jawatan timbalan perdana menteri Loke sekali lagi menolak untuk memberi komen.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS