Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Putin umum bertanding dalam pemilihan presiden 2018
Diterbitkan:  Dec 7, 2017 3:21 PM
Dikemaskini: 7:25 AM

GLOBAL Presiden Rusia Vladimir Putin pada hari Rabu mengumumkan akan bertanding dalam pemilihan presiden tahun depan dan penganalisis menyifatkan beliau mampu mencapai kemenangan dengan mudah, lapor agensi berita Xinhua.

"Saya akan menjadi calon untuk jawatan Presiden Rusia," kata Putin semasa pertemuan dengan pekerja kilang pembuatan kereta di bandar Nizhny Novgorod.

Walaupun jumlah calon yang berminat untuk bertanding semakin ramai, beliau dijangka menang besar dalam pilihan raya yang dijadual pada 18 Mac 2018.

"Ia akan menjadi pungutan suara mengenai kepercayaan rakyat terhadap Vladimir Putin," kata Pengerusi Institut Strategi Kebangsaan, Mikhail Remizov.

Beliau berkata, yang akan menjadi isu utama ialah untuk menggalakkan minat rakyat terhadap pemilihan itu, kerana "hasilnya sangat jelas kepada kedua-dua penyokong Putin dan lawannya," yang akan menimbulkan sikap acuh tak acuh dan tidak ambil peduli dalam kalangan pengundi.

Menurut Remizov, perhatian rakyat kini lebih tertumpu kepada agenda Putin dalam pilihan raya, keutamaannya dan rancangan masa depan.

Putin dipilih sebagai presiden Rusia pada 2000 dan dipilih sekali lagi pada 2004. Dari 2008 hingga 2012, beliau berkhidmat sebagai perdana menteri.

Pada 2012, Putin dipilih semula sebagai presiden. Pada masa itu, kadar sokongan terhadap Putin adalah sekitar 80 peratus, menurut tinjauan pendapat umum.

Setakat ini, pemimpin Parti Liberal Demokrat Rusia, Vladimir Zhirinovsky, pengasas Parti Liberal Yabloko liberal, Grigory Yavlinsky dan ketua parti komunis Rusia, Maxim Suraikin secara rasmi menyuarakan hasrat untuk bertanding.

Turut menyatakan minat termasuk, penyampai televsiyen Ksenia Sobchak, ahli perniagaan Sergei Polonsky, serta penyanyi dan wartawan Ekaterina Gordon.

- Bernama

Lihat Komen
ADS