Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
147,676 penduduk di Pahang hidap diabetes
Diterbitkan:  Dec 7, 2017 3:40 PM
Dikemaskini: 7:43 AM

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri Pahang, Datuk Norol Azali Sulaiman berkata 14.8 peratus atau 147,676 daripada lebih 1.5 juta penduduk di Pahang dikesan menghidap penyakit diabetes.

Beliau berkata pada tahun ini sahaja seramai 7,344 penghidap baharu penyakit tersebut dikesan.

“Hasil semakan terhadap data semasa mendapati, jumlah pesakit yang mendapat rawatan di jabatan pesakit luar di semua fasiliti kesihatan negeri ketika ini adalah seramai 44,214 orang.

“Daripada jumlah itu, seramai 26 pesakit berusia 18 tahun ke bawah, manakala dalam julat umur 18 hingga 39 tahun pula ialah 1,867 orang dan selebih adalah mereka yang berumur 40 tahun ke atas,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Katanya penyakit diabetes kini menjadi antara penyakit yang membimbangkan negara dan dunia, malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri meramalkan penyakit ini akan menjadi antara tujuh penyakit punca utama kematian pada 2030.

“Data kematian di Malaysia sendiri menunjukkan 73 peratus daripada semua kematian di hospital kerajaan adalah disebabkan penyakit diabetes dan komplikasinya, terutama serangan jantung dan strok.

“35 peratus daripada jumlah ini adalah dalam kalangan mereka yang berumur bawah 60 tahun,” katanya.

Sehubungan itu, Norol Azali berkata rakyat di negeri ini perlu memulakan langkah proaktif dan mengambil tanggungjawab untuk menjaga kesihatan diri selain memahami bahawa penjagaan kesihatan bukanlah tanggungjawab kakitangan kesihatan.

Beliau berharap dengan peningkatan kesedaran dan pengetahuan orang ramai terhadap risiko penyakit itu ia dapat mengubah amalan hidup rakyat di Pahang kepada gaya hidup yang lebih sihat supaya penyakit ini berjaya dikawal dan dicegah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS