Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sabitan Siti Noor Aishah kekal, hukuman penjara dikurangkan
Diterbitkan:  Dec 7, 2017 4:03 PM
Dikemaskini: 8:09 AM

Bekas pelajar peringkat Sarjana sebuah universiti awam, Siti Noor Aishah Atam, yang didakwa memiliki 12 buku berkaitan keganasan, akan menjalani hukuman penjara lebih singkat daripada yang diputuskan sebelum ini.

Ini berikutan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini, yang dianggotai Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, mengurangkan hukuman penjara terhadapnya daripada lima tahun kepada tiga tahun setelah membenarkan rayuannya tentang hukuman itu.

Kamardin, yang menyampaikan penghakiman mahkamah itu, mengetepikan hukuman penjara lima tahun dan menggantikannya dengan hukuman penjara tiga tahun terhadap Siti Noor Aishah, bermula dari tarikh dia ditangkap pada 23 Mac tahun lepas.

Beliau berkata hukuman penjara lima tahun yang dijatuhi Mahkamah Tinggi sebelum ini jelas berlebihan.

Mahkamah itu bagaimanapun menolak rayuan Siti Noor Aishah tentang sabitan kesalahannya dengan memberi alasan rayuannya tidak mempunyai merit.

Kamardin berkata mahkamah bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa pembelaan diri Siti Noor Aishah tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwa.

Katanya mahkamah juga mendapati Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kekhilafan dalam dapatannya dan dalam mensabitkan kesalahan Siti Noor Aishah bagi tuduhan yang membenarkan campur tangan mahkamah rayuan.

Siti Noor Aishah, 30, didapati bersalah oleh Mahkamah Tingggi di Kuala Lumpur pada April tahun ini kerana memiliki 12 buku tentang Jemaah Islamiyah (JI), Islamic State (IS) dan Al Qaeda (AQ) di Lot 1241, Jalan Lapangan Terbang Sura, Dungun, Terengganu pada 12.25 tengah hari 22 Mac tahun lepas.

Dia pada mulanya dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi tanpa dipanggil membela diri pada 29 September tahun lepas, tetapi berikutan rayuan oleh pihak pendakwa, Mahkamah Rayuan pada 27 Mac tahun ini memerintahkannya membela diri dan mengembalikan perkara itu ke Mahkamah Tinggi.

Berikutan keputusan itu, peguam Mohd Kamaruzaman A. Wahab berkata beliau akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya sama ada untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Katanya, memandangkan hukuman penjara terhadap Siti Noor Aishah dikurangkan kepada tiga tahun, anak guamnya itu dijangka dibebaskan awal tahun depan kerana dia telah menjalani hukuman penjara selama setahun dan diambil kira potongan satu pertiga daripada hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS