Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

UMNO akan mengadakan perhimpunan solidariti menyokong rakyat Palestin sebagai protes terhadap cadangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, kata Naib Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tanpa menyatakan tarikh dan lokasi perhimpunan itu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan berunding dengan rakan-rakan daripada parti luar dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama menyertai perhimpunan tersebut.

“Kita melihat bahawa isu ini bukan sahaja isu soal agama Islam tetapi ia merupakan soal kesejagatan,” katanya pada sidang media selepas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan dasar dan merasmikan Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berpendapat apa yang diputuskan Presiden Trump merupakan satu campur tangan secara langsung di Timur Tengah dan dikhuatiri menimbulkan pergolakan politik di rantau tersebut.

Katanya beliau dan Najib telah bertemu dengan pemimpin Al-Fattah dan Hamas dari Palestin, yang menghadiri perhimpunan itu, dan kedua-dua parti berkenaan turut membantah cadangan Amerika Syarikat itu.

“Walaupun kedua-dua parti ini sering berbeza pendapat tetapi (dalam hal ini), mereka telah bersatu hati dan pemikiran bahawa tindakan yang dilakukan Amerika Syarikat untuk memindahkan ibu kota Tel Aviv ke Baitulmuqaddis adalah sesuatu yang harus ditentang bukan hanya oleh rakyat Palestin tetapi umat Islam keseluruhannya,” kata beliau.

Ditanya sama ada UMNO akan menyertai PAS yang akan mengadakan protes di luar kedutaan Amerika Syarikat di sini, esok, beliau berkata UMNO akan menghantar anggotanya yang tidak terlibat secara langsung dengan Perhimpunan Agung UMNO ke protes itu.

Seorang lagi Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang turut menghadiri sidang media itu berkata cadangan mengadakan perhimpunan solidariti tersebut telah mendapat sokongan padu daripada para perwakilan UMNO.

“Ini bermakna tindakan Trump bukan sahaja tidak kita persetujui, malah kita tentang,” katanya.

Dalam ucapannya, perdana menteri menyatakan pendirian Malaysia yang menolak sekeras-kerasnya cadangan menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel sampai bila-bila dan turut meminta kesemua 2,718 anggota perwakilan untuk berdiri dan menyuarakan protes mereka terhadap tindakan Amerika Syarikat itu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS