Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PAU2017 l Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos memang dikenali dengan gimik politiknya; daripada membawa keranda hinggalah bertuala sahaja di depan bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah iaitu pejabat Menteri Besar Selangor.

Aksi tersebut mengundang tidak sedikit cercaan, namun bagi Ketua Umno Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Said, Jamal bebas untuk meneruskan "aksi gila" sebegitu.

"Saya mahu Jamal teruskan perjuangan gilanya itu, untuk memastikan Selangor berjaya (dimenangi Umno)," kata Zaidi ketika sesi perbahasan ucapan Presiden di Perhimpunan Agung Umno 2017, hari ini.

Kata-kata Zaidi itu disambut tepukan gemuruh perwakilan Umno yang hadir, malah Datuk Seri Najib Razak juga dilihat mengangguk tanda setuju.

Dalam ucapannya sebelum itu, Zaidi berkata beliau juga ada kalanya terlepas cakap, tetapi ia atas kapasiti peribadi dan bukannya sebagai ketua Umno Bahagian.

"Ini yang ditunjukkan oleh sahabat saya, Jamal Yunos. Dia boleh buat macam-macam, bawa keranda ke pejabat SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri), dan pakai tuala dengan berus gigi di telinga ke sana.

"Bayangkan kalau kami semua buat perangai macam itu...semua pakai tuala putih selit berus gigi di telinga ke pejabat Lim Guan Eng? Saya ingat Lim Guan Eng lari.

"Tapi kita tak buat. Biarlah Jamal yang buat, tak mengapa," katanya.

Justeru, katanya lagi, segala tindak-tanduk Jamal tidak boleh dikaitkan dengan semua ketua Umno Bahagian.

"Jika semua tindakan Jamal dianggap sebagai sikap ketua bahagian, itu menyekat kebebasan untuk kita bertindak terhadap pelampau di luar sana," kata Zaidi.

Beliau juga membangkitkan apa yang dirasakannya sebagai dwistandard dalam soal itu.

"Apabila kena kepada pembangkang, itu dikatakan tindakan individu dan bukan mewakili parti.

"Tetapi bila ada pemimpin Umno tersalah cakap, (mereka kata) ini tindakan parti dan bukannya individu. Ini tidak adil," katanya.

Lihat Komen
ADS