Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Myanmar tolak resolusi UNHRC mengenai isu Rakhine
Diterbitkan:  Dec 7, 2017 6:00 PM
Dikemaskini: 10:03 AM

Myanmar membantah deraf resolusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHRC) berhubung isu Rakhine, namun berikrar untuk menangani cabaran yang dihadapi di negara itu, lapor agensi berita Xinhua.

Media rasmi pada hari Khamis menerbitkan kenyataan Perwakilan Tetap Myanmar ke PBB, U Htin Lynn sebagai maklum balas kepada deraf resolusi yang dikemukakan di sidang khas UNHRC mengenai Myanmar.

Resolusi "Situation of human rights of Rohingya Muslims and other minorities in Myanmar" itu, dibentangkan pada hari Selasa.

Sidang khas UNHRC tersebut diadakan di Geneva atas permintaan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Menurut kenyataan itu, Myanmar membantah resolusi, kerana ia meningkatkan polarisasi, pemisahan dan konfrontasi, dan ia tidak mencerminkan prinsip UNHRC seperti kesaksamaan, objektif dan tidak selektif.

Ia juga dilihat menumpukan kepada satu kumpulan yang mempunyai kepercayaan tertentu.

"Melindungi dan menggalakkan hak asasi manusia adalah untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan jantina," jelas kenyataan itu.

Beliau berkata "beberapa elemen dalam deraf resolusi melanggar kedaulatan negara Myanmar. Tuduhan tanpa bukti yang cukup dan konkrit turut terkandung di dalamnya."

"Bantuan antarabangsa sepatutnya menjadi sebagai sebahagian penyelesaian kepada masalah bukan menambahkan lagi kemelut," katanya

Jelas kenyataan itu lagi, kerajaan Myanmar berusaha untuk menyelesaikan isu Rakhine secara dalaman dan melalui kerjasama dengan Bangladesh.

Pada 23 November, Myanmar dan Bangladesh menandatangani perjanjian berkaitan warga Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh dari Rakhine, bagi membolehkan mereka kembali semula ke negara asal.

- Bernama

Lihat Komen
ADS