Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Susulan pengiktirafan Trump, Hamas lancar intifada
Diterbitkan:  Dec 7, 2017 7:00 PM
Dikemaskini: 11:07 AM

GLOBAL l Pemimpin Hamas Ismail Haniya menggesa Intifada baru bermula esok, susulan tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota baru Israel.

Menurut laporan Al-Jazeera, Ismail menyifatkan pengiktirafan itu sebagai "pengisytiharan perang terhadap warga Palestin".

"Keputusan AS adalah penindasan, pengisytiharan perang terhadap kami...Ia telah membunuh proses ke arah keamanan, Perjanjian Oslo dan proses penempatan.

"Kita perlu berusaha untuk melancarkan intifada untuk berhadapan musuh Zionis," katanya dalam ucapan di Gaza, hari ini.

Di sebalik penentangan antarabangsa dan dalam negara, Trump kekal dengan tindakan itu dan akan memindahkan kedutaan Besar AS di Israel yang kini terletak di Tel Aviv, ke Baitulmaqdis.

Sepanjang sejarah kemelut Palestin-Israel, sebanyak dua intifada, atau kebangkitan, telah dilancarkan.

Intifada pertama pada Disember 1987 yang membawa kepada Perjanjian Oslo pada 1993.

Intifada kedua pula pada September 2000 yang berpunca daripada tindakan perdana menteri Israel ketika itu, Ariel Sharon, mengunjungi Masjid Al-Aqsa. Ia dilihat sebagai satu provokasi.

Ia berakhir pada 2005 selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk menghentikan serangan dan pengunduran tentera Israel di Gaza pada 2005.

Ismail menyifatkan pengiktirafan Trump itu sebagai titik kritikal dalam sejarah Arab, dan menggesa semua puak Palestin bersatu segera dan mula memikirkan strategi menghadapi perkara itu.

"Kami menggesa, meminta dan menekankan keperluan menyusun semula keadaan rakyat Palestin untuk menghadapi plot berbahaya ini, dan meletakkan keutamaan untuk menghadapi keputusan provokatif itu," katanya.

Ismail menegaskan Palestin menganggap Baitulmaqdis sebagai ibu kota negara mereka di masa depan.

"Seluruh Baitulmaqdis adalam kepunyaan kami," katanya.

Lihat Komen
ADS