Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perwakilan: Ahli Umno perlu miliki 'minda menang'
Diterbitkan:  Dec 7, 2017 7:15 PM
Dikemaskini: 11:21 AM

PAU2017 Anggota Umno perlu menzahirkan semangat solidariti dengan mempersiapkan diri memiliki 'minda menang' bagi membantu dan menyokong kepimpinan Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak mengekalkan mandat untuk menerajui kerajaan, kata wakil Umno Perak.

Ketua Umno bahagian Teluk Intan, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata gendang perang akan dipalu bila-bila masa sahaja lagi, maka minda menang mesti mengukuh dalam sanubari setiap anggota bagi mendapatkan mandat besar kerana ia merupakan peperangan hidup mati bangsa Melayu.

"Jangan biarkan Presiden (Najib) berseorangan. Jangan hanya tengok kesusahan yang ditanggung pemimpin kita sahaja," katanya ketika menyokong perbahasan Usul Ucapan Dasar presiden di perhimpunan agung Umno 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Beliau berkata Perak berpendapat tujuh minda menang menjadi prasyarat untuk berjaya dalam PRU14 iaitu kesetiaan dan pengorbanan terhadap perjuangan; jangan mudah berpuas hati dan sentiasa berfikir ke hadapan; mempunyai rasa kebersamaan; jangan menyorok perkara di bawah tikar; tetapkan siapa musuh; dan tetapkan sasaran kemenangan serta perlu menyelami masalah resah dan gelisah masyarakat.

"Kita mesti meneruskan keberadaan Umno di tengah-tengah khalayak. Umno yang telah terbukti sejak tujuh dekad mesti terus berada di tengah masyarakat. Perubahan politik, cabaran dan persekitaran menuntut agar kita menyantuni kehendak dan mendengar denyut nadi mereka agar Umno bersifat inklusif," katanya.

Mohd Azhar turut menyokong cadangan sayap-sayap parti yang seia sekata supaya jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak perlu dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang, demi perpaduan parti.

“Presiden Umno perlukan seorang jeneral perang mendampingi (beliau) bagi mengharungi PRU14. Sebagai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliaulah yang paling layak,” katanya.

Terdahulu, wakil Umno Pahang, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz berkata amalan prinsip wala' dan kesetiaan ditekankan oleh presiden parti membolehkan Umno mengatasi pelbagai rintangan dan dugaan meskipun sering kali cuba dijebak ke dalam kancah perpecahan dan berpuak-puak.

Mohamad Sahfri, yang juga setiausaha Pemuda Barisan Nasional (BN), turut mencadangkan anggota Umno termasuk Pemuda turun berhimpun menyatakan bantahan di Kedutaan Amerika Syarikat, esok bagi menyatakan solidariti terhadap soal Baitulmuqaddis di Palestin.

"Isu Baitulmuqaddis menjadi satu daripada perkara penting dalam dunia hari ini, maka Pemuda menyahut cabaran untuk kita beramai-ramai berhimpun dan nyatakan bantahan di hadapan Kedutaan Amerika mengenai tindakan mereka menjadikan Al-Quds sebagai ibu negara Israel," katanya semasa mencadang usul ucapan dasar presiden itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS