Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno hantar bantahan ke kedutaan AS esok
Diterbitkan:  Dec 7, 2017 6:53 PM
Dikemaskini: 11:33 AM

Pergerakan Pemuda Umno akan menghantar nota bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat esok berhubung tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara baharu Israel.

Ketua pergerakan itu Khairy Jamaluddin berkata Pemuda Umno memandang serius isu berkenaan dan beliau sendiri akan mengetuai rombongan menghantar bantahan tersebut selepas solat Jumaat.

”Kami sudah meminta izin daripada Presiden Umno (Datuk Seri Najib Razak) untuk menghantar nota bantahan tersebut,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan Kelab Umno Luar Negara (KULN) bersempena perhimpunan agung Umno 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Sambil mengutuk tindakan Amerika Syarikat itu, beliau berkata Pemuda Umno tidak boleh menerima pendirian Amerika Syarikat memindahkan ibu negara Israel dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.

"Ini merupakan satu tempat penting umat Islam dan menjadi kota pertikaian di antara Palestin dan Tel Aviv,” katanya.

Khairy menegaskan tindakan Amerika Syarikat itu dikhuatiri akan mencetuskan keadaan yang sangat tidak stabil bukan hanya di Timur Tengah malah di seluruh dunia,

Mengenai pertemuannya dengan KULN, Khairy berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) tetap memerlukan sokongan dan dokongan daripada mereka yang berada di luar negara bagi menyumbang kepada kempen pilihan raya umum Umno dan BN termasuk menerusi media sosial.

- Bernama

Lihat Komen
ADS