Paling Popular
Terkini

PAU2017 I Seorang perwakilan Wanita Umno bertanya satu soalan semasa perhimpunan agung parti itu hari ini: "Siapa tak tak takut bini?"

Ketika membahaskan ucapan dasar presiden Umno, Ketua Wanita Umno Bahagian Pagoh, Noriah Mahat berharap cadangan agar kuota sekurang-kurangnya 30 peratus senator wanita di Dewan Negara akan menjadi kenyataan selepas pilihan raya umum akan datang.

Namun, beliau yakin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan memenuhi janjinya, selepas mengulangi seruan agar lebih ramai wanita dilantik sebagai senator minggu ini.

"Saya tengok wajah Datuk Seri (Najib) memang orang yang baik, handsome lagi. Sebab tu (Datin Seri) Rosmah (Mansor) sayang dengan dia.

"Ada orang kata Datuk Seri takut isteri, betul ke?

"Saya nak tanya tuan-tuan, puan-puan. Tuan-tuan takut dengan bini tuan-tuan? Jangan bohong!" soal Noriah sambil disambut ketawa dan sorakan daripada mereka yang hadir.

Timbalan Pengerusi Tetap Umno, Datuk Mohamad Aziz yang kelihatan tersenyum kemudian menjawab; "Saya pun takut dengan bini!"

Rosmah, bulan lalu, menafikan dakwaan bahawa beliau mengawal Najib.

Berbeza dengan kepercayaan umum Rosmah berkata, beliau sebaliknya yang dikawal Najib.

Noriah dalam ucapannya juga meminta agar lebih ramai wanita diberi jawatan menteri dan timbalan menteri selepas pilihan raya.

"Saya nak tanya apa yang wanita ni, layak nak jadi apa ni?

"Presiden pun boleh," katanya sambil disambut senyuman presiden Umno.

"Jangan kata wanita tak boleh. Siapa kata wanita tak boleh, cakap, siapa berani? Wanita boleh, cumanya orang tak percaya kita boleh. Cubalah baru tau jadi presiden," kata Noriah.

Lihat Komen
ADS