Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah tetap tarikh saman balu terhadap Najib, Rosmah

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menetapkan tarikh untuk menyampaikan keputusannya sama ada saman yang difailkan oleh Santamil Selvi, balu P Balasubramaniam, terhadap Perdana Menteri Datuk seri Najib Razak dan isterinya, Datin seri Rosmah Mansor akan dibatalkan.

Selepas mendengar hujah daripada peguam mewakili Najib, Rosmah dan enam defendan lain, Hakim Hue Siew Kheng menetapkan 30 Januari 2018 untuk menyampaikan keputusan itu.

Defendan lain dalam kes itu ialah anggota keluarga Najib, Ahmad Johari dan Nazim, peguam Cecil Abraham, Sunil Abraham, dan M Arulampalam, serta pesuruhjaya sumpah Zainal Abidin Muhayat.

Mereka memberitahu mahkamah bahawa Mahkamah Tinggi terikat oleh res judicata, memandangkan keputusan mahkamah yang lebih tinggi telah membenarkan permohonan saman terdahulu Santamil terhadap defendan yang sama.

Saman pertama Santamil adalah berkaitan dakwaan konspirasi, manakala saman kedua menyebabkan kesengsaraan kepada plaintif.

Santamil (foto) mengambil tindakan saman pada 1 Ogos, mendakwa mengalami kesengsaraan dan kehilangan pendapatan berikutan keluarganya dibuang ke India pada 2008.

Ini selepas Balasubramaniam mengeluarkan Akuan Bersumpah (SB) pertama dan kedua berkaitan pembunuhan Altantuya Shaaribuu.

Defendan juga berkata bahawa saman terbaru telah lama difailkan.

Bekas hakim mahkamah persekutuan Tan Sri Gopal Sri Ram, yang muncul sebagai peguam untuk Santamil dan anak-anaknya, berkata saman terbaru berbeza dengan yang pertama dan oleh itu terdapat isu memerlukan perbicaraan itu diteruskan.

Mahkamah bagaimanapun masih belum mendengar permohonan daripada peniaga permaidani Deepak Jaikishian bagi membatalkan saman tersebut, berikutan pembelaan keduanya yang difailkan pada 6 November.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS