Jawatan presiden, timbalan tak dipertandingkan
PAU2017 | Umno meluluskan usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.
Usul itu - dibentangkan oleh Pemuda Umno - diluluskan selepas dibahas pada hari kedua perhimpunan agung hari ini.
Keputusan dibuat melalui undi secara angkat tangan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
“Usul ucapan Presiden telah di terima sebulat suara dengan pindaan di mana pindaan itu menyebutkan jawatan Presiden yang disandang Datuk Seri Najib tidak akan dipertandingkan.
“Begitulah juga jawatan timbalan Presiden yang dicadangkan dan semalam kami juga telah mengambil ketetapan jawatan naib presiden biarpun disandang oleh tiga orang tetapi oleh kerana seorang sahaja penyandang tunggal maka kami menerima bahawa jawatan seolah-oleh Presiden kanan ini diberikan kepada Datuk Seri Hishamuddin,” kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang medianya Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata ia adalah satu kaedah di mana Umno akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada PRU akan datang sekaligus tidak ada gerak kerja dalam parti bagi menghadapi pemilihan akan datang.
“Ertinya, ketiga-tiga pemimpin utama dalam Umno akan berada dalam kepertanggungjawaban yang telah diberikan kepercayaan sebulat suara oleh perwakilan,” tegas Ahmad Zahid.
Ketika ini jawatan timbalan presiden dikosongkan selepas penyandangnya Tan Sri Muhyiddin Yassin, dipecat daripada Umno.
Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilantik mengisi jawatan itu dalam kabinet.
Dengan keputusan hari ini kedudukan Datuk Seri Najib Razak sebagai presiden terjamin selama sepenggal lagi, manakala Ahmad Zahid akan menjadi timbalan secara rasmi.
Ia didakwa bakal memudahkan Umno menyusun parti menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang dijangka diadakan awal tahun depan.
Untuk rekod sejak dilantik ke jawatan presiden pada 2009 Najib tidak pernah sekali pun dicabar kedudukannya.
Pada 2009 beliau memenangi jawatan presiden tanpa dicabar ketika sistem kuota minimum pencalonan bagi setiap jawatan dalam Umno berkuat kuasa.
Bagaimanapun kuota minimum yang menentukan kelayakan seseorang bertanding bagi sesuatu jawatan itu dihapuskan pada 2013.
Umno sepatutnya mengadakan pemilihan pada 2016 namun ditangguhkan sebagai persediaan menghadapi PRU ke-14.

