Pengesahan oleh Agensi Penarafan Antarabangsa, Moody's Investors Service bagi penerbit mata wang asing dan tempatan serta bon tidak bercagar senior Kerajaan Malaysia pada A3 dengan prospek stabil membuktikan ekonomi negara berada di landasan tepat.

“Agensi Penarafan Antarabangsa Moody's hari ini mengesahkan penarafan Malaysia sebagai stabil dalam kategori A3, bukti ekonomi kita berada di landasan tepat,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata di laman twitternya.

Penarafan itu juga bermakna usaha Kerajaan @barisanasional membuahkan hasil, kata beliau yang juga menteri kewangan.

Moody’s dalam satu kenyataan hari ini berkata pemacu utama yang menyokong penarafan A3 dan prospek stabil itu adalah jangkaan beban hutang kerajaan kekal tinggi tetapi secara keseluruhannya stabil, pendedahan agak tinggi ekonomi dan sistem kewangan kepada pengehadan pembiayaan luar, serta prospek pertumbuhan kukuh dan berdaya tahan Malaysia.

Moody's berkata komitmen kerajaan kepada pengukuhan fiskal telah membawa kepada penurunan defisit fiskal setiap tahun berturut-turut dalam tempoh tujuh tahun lepas.

"Antara 2012-2021, kami menjangka pertumbuhan KDNK berada pada purata 5.1 peratus, menjadikan Malaysia satu daripada negara-negara dengan penarafan A yang paling pantas berkembang, dengan diatasi hanya oleh China dan Ireland, dan setara dengan Malta," kata agensi itu.

Ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 6.2 peratus pada suku ketiga 2017 berbanding 4.3 peratus pada suku yang sama tahun lepas, didorong oleh permintaan dalam negeri, terutama perbelanjaan sektor swasta.

- Bernama