Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kalau benar anak jantan, buka sangkar ayuh bertarung'
Diterbitkan:  Dec 8, 2017 5:49 PM
Dikemaskini: 4:29 PM

Kalau dalam ilmu persilatan, ia ibarat gayung bersambut. Dalam seni berpantun, sudah dijual seeloknya dibeli pula.

Ia bermula dengan pantun mengusik Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Datuk Seri Najib Razak ketika kedua-dua mereka - bersama isteri masing-masing - bertemu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini.

Anwar ditempatkan di HKL selepas selamat menjalani pembedahan pada bahunya baru-baru ini.

Menggunakan pantun lama Melayu Anwar mengemas kini media sosialnya selepas diziarahi Najib itu.

Tuai padi antara masak,
esok jangan layu-layuan;
ziarah kami antara nampak,
esok pilihan raya lawan tetap lawan.

Semalam semasa menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno Najib membeli pantun Anwar.

Burung merpati terbang sekawan,
hinggap seekor di atas dahan;
kita sahut ‘lawan tetap lawan’,
di pilihan raya bertarunglah seperti anak jantan.

Hari ini Naib Presiden PKR, Tian Chua pula membeli pantun Najib.

Jelas menjawab usikan Najib di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur itu, Tian membalas pantun berkenaan.

Menariknya, pantun Tian yang dipaparkan di Twitter itu lebih bersifat mencabar.

Gagak berlagak di atas dahan,
rajawali dihambat dalam kurung;
kalaulah benar anak jantan,
buka sangkar ayuh bertarung!

Untuk memastikan pantun itu sampai ke sasarannya, Tian yang juga anggota parlimen Batu memetik akaun Twitter Najib.

 

 

Tian turut mengiringi pantun berkenaan dengan laporan berita disiarkan Malaysiakini.

Perkembangan yang jarang berlaku itu hadir ketika BN dan pembangkang mengadakan persiapan rapi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Walaupun mandat kerajaan melalui PRU ke-13 hanya akan berakhir pada Jun ini, biasanya parlimen akan dibubarkan lebih awal untuk membolehkan PRU diadakan.

Berbanding amalan demokrasi di kebanyakan negara - termasuk di rantau Asia Tenggara - kerajaan biasanya merahsiakan tarikh pembubaran parlimen daripada pembangkang.

Di kebanyakan negara pula pemerintah memaklumkan tarikh pilihan raya umum atau pemilihan presiden jauh lebih awal supaya persediaan dapat dijalankan dengan lebih mudah.

Selain Najib Anwar turut dilawati Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Lihat Komen
ADS