'Dua bekas MB Selangor mesti bawa pengikut sama'
Dua bekas menteri besar Selangor yang menyertai semula dan menyatakan sokongan kepada Umno disaran turut membawa penyokong mereka untuk memenangkan parti itu dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Saranan itu dibuat pemimpin akar umbi Umno yang menyambut baik kepulangan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib serta kesediaan Tan Sri Khalid Ibrahim membantu parti Melayu itu pada PRU14.
Ketua bahagian Umno Puchong Datuk Mohamad Satim Diman berkata penyertaan semula Muhammad Taib dan sokongan Khalid memberikan kelebihan kepada Umno memandangkan mereka pernah bersama pembangkang.
“Harap penyokong dia yang lain pun beri sokongan pada kita. Ini sangat penting, (tak cukup) kalau keinsafan dia seorang tanpa bawa penyokong.
“Mereka boleh datangkan kelebihan pada Umno. Lebih baik tokoh ini bawa penyokong pembangkang kembali sokong Umno,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui Perhimpunan Agung Umno 2017 (PAU) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Bagi Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Sabak Bernam Aminudin Sanguri pula berkata kepulangan semula Mat Taib misalnya, kerana sedar Umno boleh membela Islam di Selangor.
“Kembali ke Umno adalah kesedaran beliau. Semasa beliau keluar dulu beliau boleh menilai, parti mana yang boleh bawa Melayu Islam untuk memerintah di Selangor.
“Pada umumnya Umno terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu sertai Umno. Kita memerlukan sesiapa sahaja yang dapat membantu Umno termasuk bekas-bekas pemimpin,” katanya.
Muhammad Taib atau lebih dikenali Mat Taib keluar Umno untuk menyertai PAS pada 2013 dengan ikrar untuk membantu kemenangan parti itu berlandaskan roh Islam.
Namun Mat Taib kemudian menyertai PKR dua tahun selepas itu.
Pada September lalu, Mat Taib diumumkan menyertai semula Umno dalam satu pengumuman menggemparkan yang dihadiri perdana menteri dan barisan pimpinan tertinggi parti itu.
Sementara itu Khalid yang kini anggota Parlimen Bandar Tun Razak, dipilih sebagai menteri besar Selangor selepas Pakatan Rakyat memenangi negeri itu pada PRU12.
Beliau kemudian meletakkan jawatan selepas berlaku krisis dalam PKR dan dipecat daripada parti itu pada tahun 2014.
Sabtu lalu Khalid mengumumkan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Umno dan PAS di Selangor pada PRU akan datang.
Bagi anggota Jawatankuasa Umno Kota Raja Nazilah Idris beliau turut menyifatkan kepulangan Mat Taib dan kesediaan Khalid membantu parti itu memberikan kelebihan kepada Umno.
"Apabila ada come back daripada bekas menteri besar, itu memberikan kelebihan dan nilai tambah (kepada Umno)," katanya.

