AS kuatkuasa sekatan perjalanan ke atas 6 negara Islam, Korea Utara
Amerika Syarikat pada hari Jumaat melaksanakan sepenuhnya sekatan perjalanan terhadap enam negara majoriti Islam, Korea Utara dan Venezuela, lapor agensi berita Korea Selatan, Yonhap.
Sekatan itu diumumkan dalam pengisytiharan yang ditandatangani Presiden Donald Trump pada bulan September tetapi berdepan cabaran perundangan. Mahkamah Agung AS memutuskan pada hari Isnin untuk membenarkan perintah itu dikuatkuasakan sementara prosiding undang-undang diteruskan.
"Jabatan mula melaksanakan perisytiharan penuh pada pembukaan waku perniagaan (waktu setempat) di kedutaan AS dan konsulat di luar negara hari ini, Jumaat, 8 Disember 2017," kata Jabatan Negara dalam satu kenyataan.
Keselamatan negara adalah keutamaan dalam operasi visa Amerika Syarikat, katanya, dan kedutaan dan konsulat akan melaksanakan sepenuhnya pengisytiharan itu untuk "melindungi rakyat Amerika."
"Semua negara berkongsi tanggungjawab untuk mencegah serangan pengganas, jenayah transnasional, dan penipuan imigresen," katanya.
Lapan negara, termasuk Chad, Iran, Libya, Somalia, Syria, dan Yemen, dituduh gagal mematuhi syarat AS yang digubal untuk memastikan pengunjung tidak menimbulkan ancaman keselamatan nasional.
Perintah itu mengarahkan supaya ditingkatkan keupayaan saringan di pejabat misi diplomatik AS.
Sekatan itu boleh ditarik balik jika negara-negara yang disasarkan itu bekerjasama dengan kerajaan AS untuk memastikan keselamatan rakyat Amerika, demikian menurut Jabatan Negara.
Sekatan perjalanan terhadap Korea Utara adalah simbolik, kerana rejim komunis itu mengenakan kawalan ketat terhadap perjalanan rakyatnya dan sedikit yang dirasakan datang ke AS.
Ketegangan antara Washington dan Pyongyang telah meningkat selama beberapa bulan berhubung ujian rejim senjata nuklear dan peluru berpandu balistik yang disasarkan ke tanah besar AS. [Baca berita penuh]
- Bernama

