Enam lelaki dan dua wanita ditahan bagi membantu siasatan kes berhubung penemuan mayat seorang lelaki tempatan dipercayai dibunuh di Taman Bestari Indah, di Johor Bahru Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Jokhiri Abd Aziz berkata penahanan kesemua suspek berumur antara 22 hingga 35 tahun itu dilakukan di sekitar kawasan Seri Alam dan Johor Bahru, sejurus penemuan mayat.
Katanya kesemua suspek kini direman selama seminggu dari 8 hingga 14 Disember ini bagi membantu siasatan lanjut.
"Polis menerima maklumat orang awam berhubung penemuan mayat lelaki berusia 28 tahun itu pada 7 Disember kira-kira 8 pagi dan kemudian menemukan mangsa terbaring di tepi Jalan Persiaran Bestari, Taman Bestari Indah dengan kedua-dua tangan dan kakinya terikat serta terdapat kesan tetakan dan tikaman akibat senjata tajam pada beberapa bahagian badan.
"Polis telah membuat siasatan menyeluruh namun motif kejadian sehingga kini masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mana-mana orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil memberitahunya di balai polis berhampiran atau menghubungi melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis IPD Seri Alam di talian 07-3864222.
- Bernama
