Paling Popular
Terkini

Datuk Seri Najib Razak sekali lagi mempersenda cadangan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk melantik Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri jika mereka memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Menyasarkan mesej itu lebih kepada golongan muda, presiden Umno itu berkata langkah yang betul bagi menyediakan negara untuk masa depan bukanlah memilih pemimpin masa lampau.

"Jika kita nak sebuah parti untuk masa depan, tapi anda ambil orang dari masa lampau ia tidak mewakili masa depan.

"Orang muda kena fikirlah. Anda tidak boleh terima orang masa lampau, tak logik. Dia akan membawa idea masa lalu untuk masa depan," katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan di sesi terakhir Perhimpuan Agung Umno ke-71 di Kuala Lumpur hari ini.

HARAPAN dilaporkan bercadang melantik Tun Dr Mahathir Mohamad - yang pernah menjadi presiden Umno selama 22 tahun - menjadi perdana menteri jika BN berjaya diketepikan pada PRU ke-14 nanti.

PRU itu dijangka akan diadakan pada suku pertama tahun depan.

Cadangan berkenaan bagaimanapun didakwa belum muktamad, selain belum mendapat persetujuan semua pihak.

Najib juga menceritakan bagaiamana pada era sebelum ini seseorang yang boleh ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), misalnya membincangkan Perjanjian Malaysia 1963.

Tetapi kini katanya kerajaan tidak bertindak begitu.

"Sekarang kita lebih terbuka, kita boleh berbincang," katanya.

Lihat Komen
ADS