Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Imam Al-Azhar, gereja Koptik Mesir batal pertemuan dengan naib presiden AS
Diterbitkan:  Dec 10, 2017 12:10 PM
Dikemaskini: 4:28 AM

GLOBAL l Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel terus mendapat bantahan masyarakat antarabangsa.

Kali ini, dua pemimpin agama Mesir - Imam Besar Al-Azhar Al Sharif Mesir, Prof Dr Ahmed Mohamed Al-Tayyeb dan pemimpin Gereja Koptik Pope Tawadros II - membatalkan pertemuan mereka dengan Naib Presiden Mike Pence, susulan perkembangan itu.

Pence dijadual mengadakan lawatan ke Timur Tengah akhir bulan ini.

Menurut Bernama yang memetik Agensi Berita Islam Antarabangsa (Una), Al-Tayyeb pada asalnya setuju dengan permohonan Kedutaan Besar AS di Kaherah untuk mengadakan pertemuan itu.

Beliau bagaimanapun membatalkannya susulan kenyataan Trump untuk mengisytiharkan Baitulmaqdis - kawasan konflik yang menjadi tempat suci bagi agama Islam, Kristian dan Yahudi - sebagai ibu negara Israel.

"Kami tidak boleh duduk semeja dengan mereka yang manipulasi sejarah dan menafikan hak rakyat Palestin.

"Saya langsung tidak berkeinginan bertemu dengan pihak yang menyerahkan sesuatu bukan hak milik mereka dan Amerika harus segera membatalkan pengiktirafan itu dengan segera," katanya seperti dipetik.

Menurut Al-Jazeera hari ini, Pope Tawadros II membatalkan pertemuan dengan Pence (gambar) selepas pemimpin Palestin mengeluarkan kenyataan beliau tidak dialu-alukan di Palestin.

Dalam satu kenyataan semalam, Gereja Koptik Mesir berkata pihaknya "menarik diri daripada menyambut" Pence apabila beliau dijadual tiba di Kaherah 20 Disember ini.

Pihak gereja berkata keputusn Trump "tidak mengambil kira perasaan jutaan orang Arab", kata laporan itu lagi.

Antara negara yang telah menyuarakan bantahan terhadap langkah AS itu adalah Iraq, Indonesia, Perancis, Turki dan United Kingdom.

Ketua Gereja Roman Katolik Pope Francis pula menggesa agar identiti dan 'status quo' tanah suci bagi tiga agama itu dihormati bagi memastikan keamanan dunia.

Lihat Komen
ADS