Selepas beberapa hari menjadi sasaran dalam Perhimpunan Agung Umno, laporan polis dibuat terhadap Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak kerana menggelas DAP sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.

Laporan polis itu dibuat oleh Anggota Parlimen Segambut Lim Lip Eng, Anggota Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku Lau Weng San dan Anggota Jawatankuasa Pusat DAP Ronnie Liu.

Lim berkata Najib seharusnya disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan undang-undang berkaitan atas kesalahan menyebabkan perpecahan, kebencian serta permusuhan.

“Saya merujuk kepada ucapan dasar beliau pada 7 Disember... ini merupakan pembohongan oleh presiden Umno,” kata Lim kepada wartawan di luar ibu pejabat polis daerah Dang Wangi hari ini.

Najib yang juga merupakan perdana menteri pada Khamis lalu berkata DAP “sangat jelas” anti-Melayu dan anti-Islam “sebagaimana tertera dalam perlembagaan DAP yang tidak menyebut Islam sebagai agama persekutuan, malah mahu menjadikan negara ini sekular sepenuhnya.”

Najib juga berkata institusi Melayu dan Muslim akan hancur sekiranya pakatan pembangkang yang didalangi DAP berkuasa.

Lim turut menegaskan sekiranya dakwaan Najib benar, Sultan Selangor tidak akan menerima DAP sebagai sebahagian kerajaan negeri.

“Apa yang beliau (Najib) katakan adalah pembohongan yang berniat jahat,” katanya.

Lim turut bertanya jika Najib akan menggelar komponen BN seperti MCA dan GERAKAN sebagai anti-Islam sekiranya perlembagaan mereka tida menyebutkan agama Islam sebagai agama persekutuan.

[Baca berita penuh]