Setinggan Kg Saujana: Suhakam minta penjelasan Khir Toyo
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kesal kerana Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo tidak melayan permintaan Pejabat Perdana Menteri supaya menangguhkan operasi merobohkan rumah penduduk setinggan Kampung Saujana di Shah Alam sehingga mereka mendapat rumah ganti.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kesal kerana Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo tidak melayan permintaan Pejabat Perdana Menteri supaya menangguhkan operasi merobohkan rumah penduduk setinggan Kampung Saujana di Shah Alam sehingga mereka mendapat rumah ganti.
Berikutan itu, Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N Subramaniam, berkata suruhanjaya menghantar surat kepada Dr Mohd Khir hari ini untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara tersebut.
"Saya diberitahu bahawa Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Ahmad Yaacob telah menghantar surat rayuan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Petaling supaya menangguhkan operasi merobohkan rumah setinggan Kampung Saujana sehingga rumah kos rendah di Seksyen U9, Shah Alam siap dibina.
"(Bagaimanapun) Datuk Bandar Shah Alam, Ramli Mahmud memberitahu penduduk, yang operasi merobohkan rumah setinggan terbabit terpaksa dilakukan kerana arahan Menteri Besar," katanya.
Subramaniam menegaskan demikian selepas menerima memorandum dari wakil penduduk Kampung Saujana, S Arulchelvam yang membantah rumah mereka dirobohkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 7 September lalu.
.
Dalam operasi yang dilakukan oleh anggota penguatkuasa MBSA dan diawasi oleh anggota polis dan pegawai Pejabat Tanah Petaling itu, sebanyak 35 rumah setinggan dirobohkan dan 17 penduduk pula ditangkap dan ditahan di balai polis Seksyen 13, Shah Alam kerana didakwa merusuh.
Siva berkata, Suhakam memandang serius tindakan Dr Mohd Khir itu kerana ia menimbulkan masalah kepada penduduk kerana mereka tidak mempunyai rumah ganti.
Beliau berkata, penduduk mahu berpindah ke Monterez Kayangan seperti yang dijanjikan oleh MBSA tetapi rumah belum siap.
Dakwaan keganasan polis
Siva juga meminta penduduk setinggan Kampung Saujana membuat laporan kepada Suhakam berhubung dakwaan keganasan anggota polis ketika operasi merobohkan rumah penduduk di situ dijalankan.
"Saya mahu penduduk yang cedera kerana dipukul oleh anggota polis supaya mengemukakan laporan kepada Suhakam dengan segera. Kami memandang serius dan akan menyiasat dengan segera," katanya.
Sementara itu, beberapa penduduk yang ditemui mendakwa, ramai yang hilang kad pengenalan dan identiti diri yang lain, semasa MBSA melancarkan operasi merobohkan rumah mereka baru-baru ini.
Vasugi Athiamah berkata, kejadian ini berlaku kerana penduduk kelam-kabut mahu menyelamatkan barangan mereka, semasa jentolak MBSA merobohkan rumah mereka.
"Bukan setakat kad pengenalan dan surat beranak, malah buku dan pakaian sekolah juga rosak dan hilang. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak tidak pergi ke sekolah," katanya.
Vasugi berkata, selain itu penduduk kini berada dalam ketakutan kerana mendapat berita bahawa MBSA akan membuat operasi merobohkan rumah yang mereka bina semula baru-baru ini.
Penduduk telah membina semula rumah mereka di atas tapak asalnya dan mula mendudukinya sejak beberapa hari lalu.
Bagaimanapun, penduduk mendakwa rumah yang dibuat secara 'ala kadar' itu basah apabila hujan dan mereka terpaksa berteduh di kuil yang berdekatan.

