ULASAN l Tajuk kos sara hidup menjadi perbincangan hangat hari ini, khususnya apabila sangat membebankan kehidupan rakyat sehingga pendapatan tidak mampu menanggung perbelanjaan hidup seharian.
Kalaulah yang berpendapatan sederhana yang besar jumlahnya mengeluh, apatah lagi kalangan berpendapatan rendah yang sangat besar juga jumlahnya, penganggur dan golongan kurang upaya. Ia tidak mengira yang bergaji atau berkerja sendiri juga menghadapi bebanan yang sama.
Lebih malang kalangan penduduk bandar dan pinggir bandar. Semakin besar bandar yang dinaik taraf khususnya apabila disebut bandar raya, semakin berat bebanannya. Petani dan nelayan pula menghadapi peniaga dan penyangak yang juga membebankan kos sara hidup bagi mendapat keperluan yang bukan kerjanya.
Tanpa mengira pelbagai sebab dan punca yang berlaku sehingga meningkatnya kadar inflasi yang melibatkan apa sahaja barangan, perkhidmatan, kejatuhan nilai mata wang, pengurusan, kuasa membeli dan lain-lain atau melibatkan kerajaan, kalangan rakyat dan penggiat ekonomi, semuanya wajib dilakukan muhasabah yang semestinya ditangani oleh semua pihak supaya melakukan islah dan perubahan.
Banyak pihak telah mengulas dan melakukan analisa, serta mengemukakan pandangan yang lebih dipengaruhi oleh teori barat dalam aspek politik, ekonomi dan kemasyarakatan yang memisahkan semuanya daripada agama yang menegaskan kewajipan menghitung dosa dan pahala di sisi Allah dalam semua kegiatan manusia, seperti yang ditegaskan oleh ajaran Islam, bahawa semua urusan cara hidup ada kaitan dengan agama.
Ayat-ayat Al-Quran yang disebut di atas menegaskan betapa kebijaksanaan Allah mentadbir manusia, bukan sekadar menurunkan hidayah-Nya yang dapat dibaca, bahkan manusia juga dikurniakan akal, pancaindera, ilmu dan kemampuan jasad serta rezeki yang cukup secara saksama dan adil.
Sifat bakhil
Sebenarnya manusialah melakukan kesalahan dalam urus tadbir kehidupan mereka, kerana menggunakan akal semata-mata tanpa moral yang luhur apabila meninggalkan hidayah Allah, khususnya sifat mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan masyarakat, sifat tamak haloba mengejar keuntungan tanpa simpati terhadap pengguna, sifat bakhil terhadap orang lain, sanggup boros dan membazir dalam kalangan orang kaya kerana hidup bermewah-mewah tanpa peduli kesannya terhadap golongan miskin.
Semuanya memberi kesan negatif kepada ekonomi berkeluarga dan bermasyarakat, khususnya apabila mengundang kos sara hidup yang tidak saksama dengan pendapatan.
Para ulama Islam yang tersohor seperti Ibnu Khaldun, Al-Syatibi dan lain-lain telah menghuraikan aspek tersebut, bukan sahaja untuk zamannya, bahkan meredah masa hadapan ke zaman kita, sehingga menangani masyarakat manusia seluruhnya dengan rezeki yang melimpah ruah tetapi berlaku kesan yang negatif, apabila tanpa mengira perhitungan iman dan akhlak. Namun, Allah menangguhkan balasan akhirnya di Hari Akhirat dengan didahulukan fenomena hidup di dunia supaya sedar dan insaf. Allah berfirman:
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Ar-Rum: 41)
Para ulama telah membahagikan kehidupan manusia dengan pembahagian mengikut konsep Al-Dharuriyyat, Al-Hajiyyat, Al-Tahsiniyyat dan Al-Tarafiyyat yang mencakupi aspek kehidupan manusia dan secara khusus juga sangat mempengaruhi aspek ekonomi dan cara kehidupannya dalam lapangan individu, keluarga, masyarakat dan negara.
Sekadar mengisi perut
Al-Dharuriyyat adalah perkara asas yang perlu dalam keperluan hidup seperti makanan asasi, pakaian dan rumah kediaman, iaitu sekadar dapat hidup walaupun tanpa kesenangan.
Keperluan makanan sekadar mengisi perut untuk meneruskan kehidupan, pakaiannya pula sekadar menahan badan daripada udara dan cuaca yang menganggu kesihatan dan menjaga maruah dengan menutup aurat.
Kediaman yang cukup bagi tempat menetap dan beristirehat untuk diri dan keluarga, walaupun tanpa punya kenderaan sendiri kerana sudah ada kemudahan pengangkutan kegunaan umum.
Al-Hajiyyat adalah penambah baikan yang diperlukan bagi memberi keselesaan sekadar yang cukup, seperti keperluan perasa gula dan garam, manis dan pedas kepada makanan. Pakaian tambahan dan mengikut musim cuacanya, ada kemudahan bekalan air, eletrik dan ada kenderaan dan lain-lain sekadar yang dihajati.
Al-Tahsiniyyat adalah penambah hiasan supaya lebih menarik dan menghiaskan dalam semua keperluan di atas, seperti memperbagaikan makanan, pakaian dan menghias rumah dan halamannya.
Al-Tarafiyyat adalah kemewahan yang melampaui batas, seperti makanan dan pinggan mangkuk termahal yang diimport, kediaman istana dan mahligai yang besar dan lebih daripada satu, ada yang berpaip airkan emas, kenderaan paling mahal dan jumlah yang banyak melampau, sehinggalah mengimport pemain bola sepak dari luar negara dengan kos berjuta-juta dalam kegiatan sukan.
Aspek ini kurang disebut kerana melibatkan segelintir golongan atasan yang berkuasa dan berpengaruh.
Dikebas dengan cukai
Allah menunjukkan konsep kesederhanaan hidup dalam diri, keluarga dan negara dengan firman-Nya:
“Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu (bakhil) dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya (boros), kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan. (29) Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha mendalam pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya. (30)” Surah Al-Isra’: 29-30)
Apa yang menjadi masalah apabila manusia sendiri merungkai tertibnya, sehingga perkara Al-Hajiyyat dan Al-Tarafiyyat sudah diangkat menjadi Al-Dharuriyyat, menyebabkan golongan yang mengejar keuntungan yang besar banyak mengeluarkannya, dan mengurangkan pengeluaran Daruriyat sehingga terpaksa diimport dari luar negara, khususnya melibatkan makanan asasi.
Di samping itu, sumber dalam negara sendiri pula dieksport ke luar negara dan tidak diurus dengan baik, kemudian mengimportnya semula dan dikebas dengan mengenakan cukai oleh kerajaan apabila menangani krisis kewangan, sehingga disalahlakukan oleh para peniaga kerana sifat tamak haloba.
Daripada pihak yang pertama sehingga yang menjadi orang tengah memaksa penjual runcit menaikkan harga barang.
Tanggungjawab memperbaiki sikap perangai manusia dan peranan politik yang mentadbir serta penggiat ekonomi sangat mempengaruhi pengeluaran dan pasaran.
Mengacau nelayan miskin
Ibnu Khaldun pernah menyebut apabila pihak pemerintah dan kroni terlibat dalam banyak perniagaan akan merosakkan perjalanan ekonomi dan kehidupan rakyat, sehingga sekarang ada yang memiliki bot laut dalam dan pekerja asing yang mengacau nelayan miskin di pesisir pantai.

Kerajaan boleh mengendalikan sumber Daruriyyat dalam perkara yang disebutkan oleh Rasulullah SAW.
“Manusia itu bersama dalam tiga keperluan asas: air, api dan rumput (padang ragut).”
Hadis ini disebut oleh para ulama Siyasah Syariyyah berkait dengan sebab, realiti dan situasi mengikut zaman. Zaman terkini sudah berubah kepada keperluan asas makanan, kediaman, pendidikan, kesihatan, perhubungan dan lain-lain.
Ini menunjukkan bahawa teori penswastaan yang dipraktikkan oleh pemimpin sudah usang bagi meringankan bebanan kerajaan, apalagi dimonopoli oleh kroni politik yang boleh menjadi sebab yang mempengaruhi perkembangan negatif terhadap ekonomi seperti kadar inflasi yang meningkatkan harga barangan dan nilai matawang.
Maka kerajaan sekarang perlu membuat kajian semula terhadap kesilapan yang lalu, kerana kembali kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.

Islam juga memasukkan aspek rohani dalam mengawal dan menangani kemampuan yang berbeza dalam masyarakat dengan mewujudkan masyarakat yang bertimbang rasa dan bertolong-menolong, berpandukan firman Allah:
“(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan Rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad S.A.W): Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita) dan Kami juga telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi daripada darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik daripada kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan. (32) Dan kalaulah tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu (dalam kekufuran), nescaya Kami jadikan bagi orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, bumbung rumah-rumah mereka dari perak dan tangga-tangga yang mereka naik turun di atasnya (dari perak juga), (33) Dan juga pintu-pintu rumah mereka (dari perak juga) dan kerusi-kerusi panjang yang mereka berbaring di atasnya (dari perak juga), (34) Serta berbagai barang perhiasan (keemasan) dan (ingatlah), segala yang tersebut itu tidak lain hanyalah merupakan kesenangan hidup di dunia dan (sebaliknya) kesenangan hari akhirat di sisi hukum Tuhanmu adalah khas bagi orang-orang yang bertakwa. (35). Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.dengan pendapatan). (36)” (Surah Az-Zukhruf: 32-36)
Membazir itu perangai syaitan
Di antara perangai syaitan itu adalah membazir dalam penggunaan dan perbelanjaan yang boleh mempengaruhi pengeluaran yang tidak seimbang dengan pendapatan golongan sederhana dan rendah yang merupakan paling ramai jumlahnya dalam masyarakat.
Rasulullah SAW juga mengajar akhlak bersimpati di kalangan peniaga yang menjual dan pengguna yang membelinya:
“Allah mengurniakan rahmat kepada seorang yang bersikap mudah dan bertimbangrasa apabila menjual, membeli dan mengendalikan tuntutan” (Sahih Bukhari)
Akhlak bertimbang rasa daripada semua pihak berkonsepkan persaudaraan kemanusiaan sangat penting kerana melahirkan simpati yang boleh mewujudkan kesimbangan yang adil di antara pendapatan, keperluan dan pengurusan. Seperti pendapatan, gaji dan upah yang mencukupi sara hidup dan kawalan terhadap kegiatan ekonomi seimbang seluruhnya.
Pihak kerajaan hendaklah campur tangan apabila wujudnya masalah rakyat yang mengganggu kehidupan mereka mengikut nas hukum syariat atau Siyasah Syariayah atau Maqasid Syariah.
Apabila berlakunya inflasi pada zaman Rasulullah SAW dan ada permintaan supaya menghadkan harga barangan:
“Telah berlaku kenaikan harga barangan pada zaman Rasulullah SAW, lalu mereka mengadu: Wahai Rasulullah! Tetapkan harga barangan. Sabda Rasulullah SAW: Allah yang menentukan rezeki, sama ada melimpah rezeki dan mengurangkannya. Dia Maha melimpah rezekinya. Aku mengharapkan bertemu Allah (di Akhirat nanti) tidak siapa yang menuntut terhadapku kerana menzalimi darah dan hartanya).”
Para ulama menegaskan bahawa hadis ini tidak mahu menghadkan harga barangan kerana dalam keadaan masyarakat yang sangat berakhlak. Apabila berlakunya keadaan masyarakat yang tidak berakhlak, maka kerajaan sendiri hendaklah mengambil tindakan yang bijaksana membetulkan keadaan berpandukan kaedah Siyasah Syariah berkonsepkan Maqasid Syariah dalam menentukan maslahah oleh kerajaan termasuk dalam perkara yang tidak dinaskan halal dan haramnya oleh Al-Quran dan Hadis:
“Sesungguhnya Allah mengizinkan tindakan oleh pihak yang berkuasa dalam perkara yang tidak disebut oleh Al-Quran”
Juga berpandukan kaedah:
“Tindakan imam terhadap rakyatnya harus dihubungkan dengan kemaslahatan.”
Menunaikan zakat
Islam berbeza dengan teori liberal kapitalisme yang membebaskan kegiatan individu sehingga mengganggu kepentingan masyarakat umum. Islam juga berbeza dengan teori sosialisme dan komunism yang menganggu kebebasan individu, kononnya demi masyarakat umum. Islam berbeza dengan semua teori yang lahir daripada pragmatisme dan sekularisme yang memisahkan agama daripada urusan kehidupan manusia.
Islam tidak menghalang sesorang mengumpul kekayaan tetapi diwajibkan dengan cara yang halal dan bermoral luhur, namun diwajibkan juga menunaikan hak masyarakat dengan menunaikan zakat dan diwajibkan aktiviti-aktiviti lain yang mengambil harta, cara mengurus dan perbelanjaannya ada kaitan dengan akhlak serta perhitungan dosa dan pahala.

Maka semua langkah yang merosakkan diri, keluarga, masyarakat dan alam sekitar diharamkan. Bukan sahaja haram zat barangan, bahkan termasuk juga pengurusannya. Bukan sahaja diwajibkan reda meredai dalam muamalat urus niaga dan lain-lain, bahkan diharamkan juga monopoli yang menyusahkan masyarakat seperti juga diharamkan riba, menipu, rasuah dan semua perkara yang membawa mudarat kepada diri, keluarga dan masyarakat umum.
Imam Al Ghazali menegaskan:
“Agama adalah asas dan pemerintah adalah pengawas. Apa-apa yang tiada asasnya menjadi runtuh dan apa-apa yang tiada pengawasnya menjadi hilang atau terbiar.”
Ini menunjukkan bahawa menegakkan kebajikan dan mencegah kemungkaran bukan sahaja menjadi kewajipan individu, bahkan diwajibkan juga menegakkan kerajaan yang melaksanakan kebajikan dan mencegah kemungkaran dalam semua kelakuan bermasyarakat termasuk gangguan kos sara hidup yang menjadi masalah bersama dan jangan hanya menjaga segelintir manusia demi kepentingan tertentu. Allah menegaskan dalam firman-Nya:
“Supaya harta (hasil negara) itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (S.A.W) kepada kamu, maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).” (Surah Al-Hasyr: 7)
DATUK SERI ABDUL HADI AWANG adalah presiden PAS.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
