Naib Presiden PKR Rafizi Ramli memohon maaf kepada individu Ketua Pegawai Eksekutif PICO Itegrated Exhibit Sdb Bhd Raslan Dahlan kerana mendakwa beliau adalah abang kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Ia berkenaan dakwaan Rafizi semalam yang Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah tanggungjawab Abdul Rahman memberikan kontrak menguruskan Ekspo Negaraku kepada "abangnya".

"Kepada Raslan Dahlan dan PICO Integrated, saya sedia minta maaf.

Saya minta maaf kepada Raslan Dahlan, tetapi bukan kepada Rahman Dahlan. Rahman Dahlan yang sepatutnya minta maaf kepada rakyat kerana dia tak buat kerja, harga barang naik tapi dia sibuk buat (Ekspo Negaraku)," katanya pada sidang media di pejabat Invoke di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain melalui sidang media, Rafizi juga membuat dakwaan itu menerusi kenyataan di blognya yang bertajuk: "Penganjuran Ekspo Negaraku diuruskan oleh syarikat milik abang Abdul Rahman Dahlan".

Kenyataan itu dipadam tidak lama kemudian.

Program yang bertujuan memaparkan pencapaian kerajaan itu dianjurkan EPU dan diuruskan PICO Integrated Exhibit Sdn Bhd.

Tidak lama selepas Rafizi membuat dakwaan itu, Abdul Rahman membuat penafian di Twitter dan mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap anggota parlimen Pandan itu.

Dalam satu sidang media di Ekspo Negaraku kemudian, Abdul Rahman menampilkan Raslan kepada umum dan mendakwa tidak mengenalinya sebelum syarikatnya dilantik menguruskan program itu.

Rafizi berkata beliau bersedia berhadapan tindakan saman daripada Abdul Rahman.

"Jika dia rasa saya bertanyakan Rasman itu abangnya atau tidak seperti maklumat yang diberikan oleh pemberi maklumat dalam EPU bersamaan dengan memfitnah, sila saman.

Saya tanya dia, berdasarkan maklumat orang dalam EPU, Rasman Dahlan abang dia. Jadi saya tanya sama ada betul atau tidak. Kalau dia tak mahu jawab soalan seperti itu, tak perlu jadi menteri," katanya lagi.

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini