SKMM siasat TMI berhubung rencana lidah pengarang RCI
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengarahkan eksekutif portal berita The Malaysian Insight (TMI) untuk disoal siasat.
Portal itu berkata siasatan adalah berhubung rencana lidah pengarang berhubung siasatan suruhanjaya diraja (RCI) baru-baru ini mengenai kerugian urusan tukaran asing Bank Negara pada tahun 1990-an, bertajuk "A sham of RCI" yang diterbitkan pada 1 Disember.
“Pegawai dari SKMM berkata agensi itu bertindak susulan laporan dibuat kumpulan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), yang mendakwa TMI meremehkan RCI itu,” kata portal itu dalam laporannya hari ini.
Menurut laporan, lima eksekutif TMI, termasuk ketua pegawai eksekutif dan editornya, Jahabar Saddiq diarah tampil memberi keterangan.
Laporan itu tidak menyebut bila dan di mana rakaman kenyataan akan dibuat.
Sementara itu, SKMM dalam satu kenyataan kemudian, siasatan sedang dijalankan terhadap portal berita itu berdasarkan aduan yang diterima daripada orang ramai.
“SKMM menggesa agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan memberikan ruang untuk siasatan yang adil dan saksama dijalankan.
“SKMM dalam pada itu akan memanggil editor, pengarah dan individu lain yang terlibat untuk sesi rakaman percakapan bagi membantu siasatan,” petik kenyataan itu.

