Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

GLOBAL | Rusia mula memanggil pulang sebahagian tenteranya di Syria, atas arahan Presiden Vladimir Putin, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan pada Selasa.

Putin mengumumkan untuk memanggil pulang sebahagian tenteranya di negara itu, semasa melawat pangkalan tentera Hmeymim di Syria pada Isnin.

Agensi berita Tass melaporkan, fasa pertama pengunduran tentera itu termasuk 23 pesawat tempur, dua helikopter jenis Ka-52, anggota separa tentera, pasukan operasi khas dan pasukan perubatan tentera, kata komander pasukan Rusia di Syria, Sergey Surovikin.

Surovikin berkata, pangkalan udara Hmeymim dan pangkalan tentera laut Tartus akan dikekalkan, untuk menjamin kestabilan di Syria pada masa depan.

Media tempatan melaporkan, dengan sokongan tentera udara Rusia, tentera Syria berjaya membebaskan 98 peratus wilayah yang dikuasai kumpulan pengganas dalam tempoh dua tahun.

Rusia memperuntukan purata 156 juta Rubel (US$2.6 juta) setiap hari untuk menempatkan 69 pesawat perang di Syria.

Selain itu, 40 askar Rusia terbunuh dan sekurang-kurangnya tujuh peralatan ketenteraan musnah sejak September 2015, ketika Moscow melancarkan operasi tentera ke atas kumpulan pengganas di Syria atas permintaan Damsyik.

 

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS