Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes tipu: Mahkamah bebaskan pengarah, pegawai anak sykt Felda

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan keputusan melepas dan membebaskan bekas Pengarah Koperasi Permodalan Felda Quality (KPFQ) Datuk Tan Han Kook dan bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) syarikat itu Ching Siew Cheong daripada 134 pertuduhan menipu pegawai bank lebih RM67 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah membuat keputusan itu selepas mendapati hakim mahkamah sesyen tidak terkhilaf dalam membuat keputusan tersebut.

Dalam penghakimannya, Mohamad Shariff berkata mahkamah tinggi mendapati keterangan dua saksi pendakwaan yang merupakan saksi keempat dan kelima dalam kes itu adalah tidak kredibel dan tidak disokong dengan keterangan saksi-saksi lain.

“Berikutan itu mahkamah menolak rayuan pendakwaan sekaligus mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh daripada pertuduhan ini tanpa dipanggil membela diri,” katanya.

Mengikut pertuduhan kedua-dua tertuduh Tan, 61, dan Ching, 53, didakwa dengan niat bersama menipu pegawai Malayan Banking Berhad (Maybank) bagi permohonan tuntutan kemudahan Penerimaan Jurubank adalah tulen.

Tidak jujur, diperdayakan

Bagi kesemua pertuduhan itu, mereka secara tidak jujur mendorong pegawai bank untuk memindahkan wang berjumlah RM67,433,143 ke dalam akaun tiga buah syarikat iaitu Asia Food Link Sdn Bhd, Violet Bonanza Sdn Bhd dan Stanson Marketing Sdn Bhd, yang mana pegawai itu tidak akan memindahkan wang tersebut sekiranya mereka tidak diperdayakan oleh kedua-dua tertuduh.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank, Tingkat 8, Menara Hap Seng, Jalan P.Ramlee dekat sini antara Oktober 2011 hingga Februari 2012, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat serta boleh juga didenda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Maulat Ahmad Zakiuddin manakala Tan dan Ching masing-masing diwakili peguam Datuk K.Kumaraendran dan Datuk N.Sivananthan.

Pada 18 Disember 2015, Hakim Mahkamah Sesyen Mohd Nasir Nordin melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh daripada pertuduhan itu selepas berpuas hati pembelaan kedua-dua tertuduh berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

 

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS