5 sekeluarga maut dalam nahas kereta, bas ekspres
Lima sekeluarga maut apabila kereta Perodua Viva yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Km 176 Jalan Johor Bahru-Seremban di Segamat kira-kira 6.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Segamat Supt Raub Selamat berkata empat daripada mereka yang meningggal dunia di tempat kejadian dikenal pasti sebagai pemandu kereta Muhamad Abu Dujanah Dzulkarnain, 30; Zinnirah Abdul Hamid, 28; Nur Maghfirah Muhamad Abu Dujanah, 6; dan Muhammad Abu Ajwad Muhamad Abu Dujanah, 4.
Beliau berkata bayi berusia tiga bulan Nur Alia Humairah Muhamad Abu Dujanah meninggal dunia pada 9.25 malam ketika dirawat di Hospital Segamat di sini manakala seorang lagi mangsa Nur Ghaziyah Athirah Muhamad Abu Dujanah, 3, sedang dirawat di hospital sama dan keadaannya dilaporkan kritikal.
“Berdasarkan maklumat identiti mangsa yang kami perolehi mangsa Muhammad Abu Ajwad beralamat di Muadzam Shah, Pahang manakala mangsa lain beralamat di Kluang, Johor,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta itu dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan bas ekspres tersebut.
Raub berkata kereta yang dinaiki keluarga berkenaan juga berpusing beberapa kali sebelum bertembung dengan bas yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Segamat itu.
“Ketika kejadian keadaan lalu lintas tidak sibuk manakala cuaca semasa kemalangan adalah hujan lebat. Bentuk jalan pula berselekoh dan menuruni bukit dari kedua-dua arah,” katanya.
Beliau berkata kawasan kemalangan juga adalah dua lorong dua hala dengan dipisahkan oleh garisan putih berkembar di tengah-tengah jalan.
Sementara itu, di Kangar, seorang wanita maut apabila kereta yang dipandunya terbabas ke dalam parit di Jalan Datuk Ali petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Wari Kiew berkata Nurul Syazwani Nahrudin @ Shaharim, 28, yang memandu kereta jenis Proton Saga itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.
“Mangsa yang berasal dari Kampung Tengah, Kuala Perlis itu maut di tempat kejadian akibat tersepit dan mayat mangsa dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba," katanya kepada pemberita semalam.
Jenazah dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah di sini, untuk bedah siasat, katanya.
- Bernama

