Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan 11 kru sebuah bot kumpit, MV Lady Joanna II yang hampir karam di perairan Kinabatangan dekat Sandakan semalam.

Bot kumpit yang dalam perjalanan dari sini menuju ke Jolo, Filipina dengan muatan 16,000 guni beras serta 1,000 guni gula itu mengalami kebocoran dan terkandas di perairan itu.

Pegawai Memerintah Kapal Maritim (KM) Tebrau Left Komander Maritim Mahathir Ismail berkata bot kumpit tersebut berlepas dari Sandakan pada jam 6 pagi sebelum menyedari bot telah dimasuki air akibat kebocoran di bilik enjin.

Katanya APMM Daerah Maritim Sandakan (DM17) telah menerima panggilan telefon daripada pejabat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) pada pukul 7.20 pagi untuk memberikan bantuan kecemasan.

Menurutnya bot Banggi 43 APMM telah digerakkan ke lokasi kejadian namun tidak dapat merapat ke sisi bot kumpit itu akibat keadaan laut yang bergelora serta angin kencang.

Anggota APMM seterusnya mengarahkan mangsa untuk menaiki rakit keselamatan yang terdapat di bot kumpit itu dan membalingkan tali sebelum menariknya menghampiri mereka, katanya kepada pemberita di Pangkalan APMM DM17 Sandakan.

Beliau berkata semua 11 kru bot kumpit warganegara Filipina yang berumur antara 20 hingga 61 tahun berjaya diselamatkan dan dibawa berlindung ke jeti berhampiran sebelum menunggu ketibaan KM Tebrau untuk mengambil kesemua mangsa untuk dibawa ke jeti pangkalan APMM DM17 Sandakan.

Katanya kesemua kru bot kumpit itu berjaya dipindahkan ke atas KM Tebrau pada jam 2.30 petang dan tiada mengalami sebarang kecederaan.

“Bot Kumpit yang ditinggalkan dalam keadaan separuh tenggelam telah terkandas lebih kurang 2.8 batu nautika dari muara Sungai Kinabatangan dan kami akan menyerahkan kesemua mangsa ini kepada ejen syarikat bot kumpit tersebut” katanya.

Mahathir berkata APMM sentiasa bersedia untuk memberi bantuan kecemasan kepada masyarakat setempat yang memerlukan bantuan sekiranya ada kemalangan atau kecemasan di laut dengan menghubungi terus bilik operasi 24 jam di talian 089-229504 atau MERS 999.

- Bernama