Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis rakam percakapan Dr Mahathir
Diterbitkan:  Dec 13, 2017 2:43 PM
Dikemaskini: 7:12 AM

Empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakam keterangan Tun Dr Mahathir di pejabat bekas perdana menteri itu hari ini.

Mereka tiba di pekarangan Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya kira-kira jam 1.30 petang menaiki dua kereta.

Menurut sumber, Dr Mahathir disiasat berhubung kenyataan dibuat beliau mengenai "lanun Bugis".

Selain itu Bugis itu beberapa pihak turut membuat laporan berhubung kerugian urus niaga mata wang asing (forex) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 1990-an.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, percakapan Dr Mahathir itu akan dirakamkan berhubung kenyataannya pada sebuah perhimpunan di Petaling Jaya pada 14 Oktober lalu.

Pada ucapannya di himpunan Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi itu Dr Mahathir dilaporkan menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya balik ke Sulawesi -  tempat asal keturunan Bugis.

Antara kenyatannya itu berbunyi: “Mungkin kerana dia (Najib Razak) berasal dari lanun Bugis. Entah macam mana dia sesat sampai ke Malaysia. Pergi baliklah ke Bugis."

Ini mencetuskan kemurkaan dua sultan keturunan Bugis, iaitu Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berulang kali menafikan dakwaan itu, dan menegaskan bahawa beliau hanya merujuk kepada Najib dan bukannya orang lain.

Lihat Komen
ADS