Kementerian tunggu laporan kimia susu bayi disyaki tiruan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hanya akan mengambil tindakan berhubung susu rumusan bayi didakwa tiruan yang dirampas di Johor Bahru Khamis lepas setelah mendapat pengesahan laporan kimia.
Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata pihaknya masih menunggu laporan kimia untuk mengesahkan sama ada susu yang dirampas di kedai ubatan dan serbaneka di sekitar Johor Bahru itu tiruan atau sebaliknya.
“Apabila sudah sahih ia susu tiruan baru kami boleh ambil tindakan. Kami juga akan bincangkan isu ini secara terperinci dengan Kementerian Kesihatan yang bertanggungjawab meluluskan produk sebelum dipasarkan kepada pengguna,” katanya dalam sidang media ketika diminta mengulas status laporan kimia susu rumusan bayi itu.
Pada Ahad lalu, KPDNKK Johor merampas 210 kotak susu rumusan bayi yang disyaki tiruan seberat 1.8 kilogram sekotak dalam serbuan di lima premis kedai ubatan dan serbaneka di sekitar Johor Bahru selepas menerima aduan.
Dalam pada itu, Hamzah turut mengakui susu rumusan bayi jenama itu juga di jual di Lembah Klang.
“Namun begitu, kita tidak boleh menuduh sembarangan bahawa kedai-kedai menjual produk tiruan. Kementerian sentiasa wujudkan keseimbangan antara pengguna dan pengedar,” katanya.
Ditanya mengapa kementerian mengambil lebih sebulan untuk menyiasat perkara itu selepas menerima aduan pada 14 Okt lalu, Hamzah berkata pihaknya bersama-sama Mead Johnson Malaysia berikutan susu rumusan bayi didakwa tiruan itu menggunakan jenama susu bayi keluaran syarikat itu, perlu menjalankan siasatan terperinci sebelum mengambil tindakan lanjut.
Beliau menasihatkan ibu bapa agar berhati-hati ketika membeli susu rumusan bayi dengan perlu mengenal pasti tanda-tanda antara produk asli atau tiruan.
“Pengguna yang masih meragukan produk susu itu boleh menghubungi Kementerian Kesihatan atau talian hotline Mead Johnson di 1-800-88-3585 untuk membuat aduan atau sebarang pertanyaan lain,” katanya.
-Bernama

