Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Murid 12 tahun saksi datuk, nenek serta adik dibunuh
Diterbitkan:  Dec 13, 2017 7:08 PM
Dikemaskini: 11:41 AM

Tidak dapat dibayangkan bagaimana perasaan seorang kanak-kanak apabila melihat anggota keluarganya rentung dalam kebakaran awal pagi selepas dibunuh dengan kejam.

Kejadian itu diceritakan semula oleh kanak-kanak terbabit dalam rakaman video berdurasi satu minit 37 saat yang kini tular di media sosial.

Dipercayai rakaman itu dibuat tidak berapa lama selepas rumah mereka terbakar.

Dengan nada sebak, murid berusia 12 tahun itu mendakwa dia menyaksikan seorang lelaki bertopeng menyerang datuk dan neneknya dengan parang di rumah mereka di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, Banting awal pagi ini.

Menurutnya, bapanya ketika itu keluar bekerja ketika insiden itu berlaku. 

Manakala datuk dan neneknya yang dikenal pasti sebagai Lim Maik Shak, 68 dan Chia Tee Nang, 73, serta dua adiknya yang berusia sembilan dan tiga tahun sedang nyenyak tidur.

Selepas mengelar datuk dan neneknya, kanak-kanak itu berkata suspek kemudian membakar rumah mereka sebelum melarikan diri.

Dia bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dan bersembunyi di dalam tandas yang terletak di belakang rumah mereka.

Sementara itu, NST Online memetik Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Azizan Tukiman mengesahkan kanak-kanak terbabit tidak mengalami kecederaan tetapi kini dirawat di Hospital Banting kerana trauma.

"Kami akan merakamkan kenyataannya selepas dia rasa lebih baik. Dia masih trauma dengan kejadian itu," katanya.

Menurutnya, kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh selepas polis mendapati ada kesan tetakan pada tubuh tiga mangsa terbabit.

Polis menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran berkenaan sekitar 5.50 pagi.

Lihat Komen
ADS