Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Malaysia rosak lagi jika Mahathir kembali jadi PM
Diterbitkan:  Dec 14, 2017 11:23 AM
Dikemaskini: 5:52 AM

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marzuki percaya negara akan terjerumus pada kerosakan lebih teruk apabila Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik semula sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan menerajui negara ini pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

Ini kerana katanya, mengembalikan bekas perdana menteri itu ke tampuk pemerintahan negara akan menyaksikan agenda reformasi yang diperkenalkan sejak dua dekad yang lalu akan berkubur.

Oleh sebab itu, menurutnya, tindakan berkenaan tidak menyumbang kepada agenda membaiki kerosakan negara akibat dari dasar dan amalan zaman Dr Mahathir yang sehingga hari ini masih membebankan rakyat.

"Selama 22 tahun pemerintahan Dr Mahathir, beliau memperkenalkan dasar dan amalan pemerintahan yang merugikan negara dan rakyat.

"Ketika pemerintahan Dr Mahathir, beliau melakukan pemusatan kuasa yang cukup jelas dengan menjadikan kuasa perdana menteri begitu besar sehingga berlaku campur tangan terhadap institusi kehakiman dan legislatif.

"Malah, beliau sebagai perdana menteri berjaya menghakis kuasa Raja-raja Melayu melalui dua pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1983 dan 1993," katanya dalam satu kenyataan hari ini yang disiarkan di Harakahdaily.

Kuku besi

Mohd Zuhdi yang juga adalah pengarah pusat penyelidikan PAS berkata, pelbagai usaha pembetulan semula dilakukan pada zaman pemerintahan dua perdana menteri selepas Dr Mahathir masih belum berupaya membaiki kerosakan itu.

"Sekiranya Dr Mahathir menjadi perdana menteri sekali lagi, diyakini beliau akan menjadi lebih kuku besi daripada sebelum ini.

"Di dalam aspek ekonomi pula, Dr Mahathir memperkenalkan dasar dan amalan yang banyak merugikan negara dan rakyat.

"Akibat daripada dasar dan amalan itu menyebabkan rakyat menanggung bebannya sehingga hari ini, seperti kenaikan kos sara hidup, hutang isi rumah terus meningkat dan jurang kaya-miskin yang melebar," katanya.

Beliau berkata, antara dasar yang diperkenalkan Dr Mahathir yang semakin kelihatan kegagalannya ialah dasar penswastaan yang menyebabkan rakyat sehingga hari ini menanggung kenaikan kadar tol, tarif elektrik dan air yang tinggi dan bebanan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.

Selain itu, katanya terdapat beberapa lagi dasar dan amalan zaman pemerintahan Dr Mahathir yang membebankan rakyat seperti penggalakan pemilikan kenderaan peribadi, peminggiran sektor pertanian, dan penyuburan peranan orang tengah.

"Ketika pemerintahan Dr Mahathir juga, rakyat turut menghadapi pelbagai kesan buruk dalam aspek sosial.

“Salah satu perkembangan sosial yang tidak sihat semasa pemerintahan beliau ialah mengurangkan peranan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang menentukan rupa bentuk bangsa dan jati diri rakyat Malaysia.

Bahasa Melayu terpinggir

"Beliau memperkenalkan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang secara langsung menghakis peranan bahasa Kebangsaan dalam pendidikan.

"Di zaman Dr Mahathir juga, berlakunya liberalisasi pendidikan tinggi sehingga bahasa Kebangsaan semakin terpinggir di peringkat pendidikan tinggi,” katanya.

Mohd Zuhdi berkata, Dr Mahathir juga menghakis dasar dan amalan berkaitan dengan federalisme sehingga melanggar perjanjian dengan kerajaan negeri seperti dalam isu yang berkaitan dengan royalti petroleum.

"Selain itu, tidak dapat dilihat kejayaan Dr Mahathir ketika pemerintahannya dari segi pengukuhan perpaduan kaum, pembasmian penyalahgunaan dadah, pengurangan jenayah dan lain-lain," katanya.

Berdasarkan sebab-sebab itu, beliau berkata, PAS berpendirian usaha HARAPAN untuk menyerahkan semula mandat kepada Dr Mahathir akan menyebabkan negara dan rakyat terus terjerumus dengan kerosakan politik, ekonomi dan sosial.

“Tanpa niat untuk mencampuri urusan rumahtangga Pakatan Harapan, Pusat Penyelidikan PAS berpandangan mereka sepatutnya mengemukakan calon perdana menteri yang dapat meneruskan agenda reformasi yang dicetuskan oleh ketua umum mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mengembalikan Dr Mahathir ke tampuk pemerintahan negara bermakna agenda reformasi yang diperkenalkan sejak dua dekad yang lalu akan berkubur,” katanya.

Peranan PAS

Sementara itu, merujuk kenyataaan Mohd Zuhdi itu, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, berkata pemimpin PAS itu gagal mengikuti keseluruhan justifikasi berkaitan soal calon PM dalam keadaan Anwar yang masih berada dalam tahanan.

“Mohd Zuhdi tidak perlu berlagak baik, mencadangkan kepada HARAPAN agar mengemukakan calon perdana menteri yang dapat meneruskan agenda reformasi yang dicetuskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mohd Zuhdi sepatutnya sedar bahawa PAS sendirilah sebenarnya parti yang telah menggagalkan cadangan untuk mengangkat nama tokoh reformasi tersebut (Anwar Ibrahim) sewaktu menjelang PRU13 yang lalu.

“PAS pada ketika itu telah menamakan Ahli Parlimen Umno Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon perdana menteri mereka,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Oleh itu, menurut Sheikh Omar, kenyataan Mohd Zuhdi itu tidak lebih sekadar suatu langkah untuk melemahkan usaha HARAPAN yang sedang berkerja untuk menolak kepimpinan Najib dan menumbangkan BN.

“Di samping tiada lagi suara tegas dari PAS yang mengkritik salahguna kuasa Najib mutakhir ini, kritikan Mohd Zuhdi dalam isu calon perdana menteri Pakatan Harapan juga dilihat hanyalah satu tindakan yang menyerlahkan peranan PAS dalam mengukuhkan kedudukan Najib dan BN,” katanya.

Lihat Komen
ADS