Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan S'gor diberi hingga Isnin failkan afidavit
Diterbitkan:  Dec 14, 2017 12:27 PM
Dikemaskini: 4:31 AM

Mahkamah Rayuan menangguhkan perbicaraan permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengketepikan permohonan penangguhan yang yang menghalangnya daripada mengadakan inkuiri tempatan mengenai pelaksanaan peersempadanan semula itu pada Isnin depan.

Menurut bekas presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan, yang mewakili kerajaan negeri Selangor, keputusan itu adalah bagi membolehkan anak guamnya memfailkan afidavit jawapan kepada SPR.

Pada 7 Disember lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Azizul Azmi Adnan menolak permohonan semakan kehakiman kerajaan Selangor bagi mencabar persempadanan semula kawasan pilihan raya parlimen dan Dewan Undangan Negeri Selangor oleh SPR.

Alasannya, mahkamah terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung isu persempadanan semula di Perak dan Melaka.

Bagaimanapun, hakim membenarkan penangguhan keputusan itu, yang sekali gus menghalang SPR daripada menjalankan inkuiri terhadap aduan pemilih di Selangor.

Pada 19 Oktober tahun lalu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mewakili kerajaan negeri, memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan DUN di Negeri Selangor oleh SPR.

Dalam permohonannya, Mohamed Azmin menuntut satu deklarasi bahawa cadangan untuk persempadanan kawasan pilihan raya oleh SPR pada kajian 2016 adalah tidak berperlembagaan kerana tidak selaras dengan Fasal 113(2) dan Seksyen 2(c) dan 2(d) Jadual Ketiga Belas kepada Perlembagaan Persekutuan, tidak sah dan terbatal.

Beliau turut memohon perisytiharan bahawa kegagalan SPR untuk menggunakan daftar pemilih terkini dalam persempadanan semula itu adalah tidak berperlembagaan, tidak selaras dengan Fasal 3 Jadual Tiga Belas Perlembagaan, dan oleh itu, adalah batal dan tidak sah.

Mohamed Azmin turut meminta SPR memperbetul dan mengemas kini alamat 136,272 pengundi di Selangor, yang alamat mereka tiada dalam daftar pemilih itu.

Beliau memfailkan permohonan atas alasan SPR bertindak tidak mengikut perlembagaan, tidak munasabah dan tidak logik bertentangan dengan Perkara 113(2) Perlembagaan Persekutuan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS