Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDM) Kelantan berjaya merampas sejumlah 5,700 karton rokok seludup dalam satu operasi di sebuah ladang kelapa di Gunong, Bachok, malam tadi.

Pengarah Kastam Negeri, Datuk Mohd Nasir Yusoff berkata, Operasi Krismas 2017 itu dilakukan susulan intipan terhadap sebuah lori yang disyaki membawa rokok haram selepas pihaknya mendapat maklumat orang ramai.

"Serbuan dibuat terhadap lori tersebut dan pemeriksaan mendapati dua lelaki tempatan dan seorang warga Thailand sedang memunggah rokok putih jenama Saat.

"Dalam serbuan itu kita merampas kira-kira 5,700 karton rokok seludup anggaran nilai RM57,000 dan jumlah cukai terlibat sebanyak RM728,460," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JKDM Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Tambah Mohd Nasir, dalam serbuan kira-kira jam 8.20 malam itu pihaknya turut merampas lori berkenaan, manakala ketiga-tiga suspek direman untuk siasatan lanjut.

"Sindiket ini menggunakan modus operandi dengan membuat pembahagi menggunakan papan plywood untuk meletakkan kotak-kotak rokok dan dibalut seperti perabot bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan terlibat dan tidak melebihi 20 kali ganda atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu mengulas lanjut mengenai Operasi Asap 2017 pula, Mohd Nasir berkata, tumpuan diberikan kepada premis-premis, bazar, kedai runcit dan rumah yang disyaki menyimpan rokok seludup atau rokok tidak sah untuk jualan tempatan.

"JKDM Kelantan telah berjaya memperolehi 165 kes melibatkan penjualan rokok tidak sah di seluruh negeri sepanjang tahun ini melalui Operasi Asap.

"Dianggarkan lebih 4,000 premis telah diperiksa sepanjang operasi ini dan kita akan teruskan usaha bagi membendung penjualan rokok tidak sah daripada berleluasa," jelasnya.