Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Caj skim insurans kesihatan sukarela lebih murah
Diterbitkan:  Dec 14, 2017 3:35 PM
Dikemaskini: 7:40 AM

Skim insurans kesihatan sukarela (VHIS) yang akan dilaksanakan kerajaan tahun depan adalah lebih murah berbanding skim insurans kesihatan swasta.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata VHIS lebih murah kerana ia dilaksanakan menerusi agensi Kementerian Kesihatan dan tidak berasaskan keuntungan.

"Kadar insurans semakin lama semakin tinggi, mungkin perlindungan insurans ditawarkan semakin banyak maka kos premium dibayar tinggi dan ada unsur keuntungan. Bagaimanapun VHIS tiada konsep keuntungan.

“Premium perlindungan dijangka rendah berbanding perlindungan insuran ditawarkan di pasaran," katanya semasa menjawab soalan tambahan Senator Datuk Chai Kim Sen yang ingin tahu perbezaaan VHIS dengan skim insurans kesihatan sedia ada, di persidangan Dewan Negara hari ini.

Pada pembentangan Bajet 2018 27 Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sejumlah RM50 juta diperuntukkan kepada VHIS untuk memperkasa sektor kesihatan.

Dr Hilmi berkata VHIS adalah alternatif kepada skim insurans kesihatan swasta dalam memberi manfaat kepada rakyat dengan menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih kompetitif.

Beliau berkata berdasarkan kajian dianggarkan 23 peratus rakyat Malaysia mempunyai insurans kesihatan swasta manakala 38 peratus daripada perbelanjaan kesihatan negara adalah melalui perbelanjaan sendiri.

"Saya memberi jaminan perkhidmatan kesihatan oleh kerajaan sekarang diteruskan sama ada di klinik atau hospital, yang mana rakyat mendapat akses yang lebih komprehensif termasuk dari segi pencegahan, promosi kesihatan, rawatan dan rehabilitasi," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS