'Lihat cara kerja penguatkuasa imigresen susulan pembolosan warga asing'
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed mengarahkan Jabatan Imigresen melihat secara holistik cara kerja penguatkuasa imigresen susulan kes pembolosan warga Bangladesh melalui sindiket terancang di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang, minggu lepas.
Melahirkan rasa kecewa dengan pembabitan pegawai Imigresen dalam kes pembolosan warganegara asing itu, beliau berkata tiada halangan bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap petugas Jabatan Imigresen.
"Segelintir pegawai dan anggota Jabatan Imigresen masih tidak serik meskipun kes seperti ini bukan pertama kali berlaku. Nampaknya kursus kerohanian dan bina jati diri tidak berkesan untuk menghindarkan mereka daripada terlibat dalam kegiatan pembolosan warga asing di KLIA.
"Saya amat kecewa dengan sikap pegawai dan anggota yang terlibat dalam kes pembolosan berkenaan meskipun sebelum ini terdapat kes pegawai Jabatan Imigresen yang dibuang kerja atas kesalahan itu," katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) di ibunegara hari ini.
Nur Jazlan, yang merupakan yang dipertua PEMADAM, berkata penguatkuasaan tegas dan telus daripada anggota Jabatan Imigresen, termasuk pemantauan yang menggunakan teknologi moden, amat penting bagi mengelakkan pembolosan warga asing ke negara ini.
Pada hari Selasa, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali mengesahkan penahanan beberapa pegawainya yang dipercayai bersekongkol dengan ejen dan sindiket membawa masuk warga asing terutama dari Bangladesh melalui pintu masuk utama negara di KLIA.
Khamis lepas, sebuah akhbar tempatan mendedahkan buruh haram warga Bangladesh diseludup masuk ke negara ini melalui KLIA setiap hari diuruskan empat sindiket besar beroperasi di Kuala Lumpur dan Dhaka, Bangladesh.
Sindiket terbabit dikatakan mampu mendapat keuntungan RM5.2 juta setahun dengan mengenakan bayaran antara RM15,000 ke RM20,000 setiap seorang termasuk wang 'pelincir' kepada beberapa pihak berkuasa terutama anggota dan pegawai Jabatan Imigresen serta Kedutaan Malaysia di Dhaka.
Dalam perkembangan lain, Nur Jazlan berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual merasmikan perhimpunan agung PEMADAM Kebangsaan ke-42 akan berlangsung Ahad ini.
"Tema perhimpunan agung PEMADAM pada kali ini adalah 'Membina Kelestarian Generasi' yang akan melibatkan 173 daerah Pemadam di seluruh negara dan dihadiri kira-kira 2,000 anggota Pemadam," katanya.
Mengenai peratusan penagih yang masih menghuni penjara setakat ini, Nur Jazlan berkata 60 peratus penghuni penjara ketika ini adalah penagih dadah dan negara menghadapi ancaman dadah baharu iaitu dadah kimia atau sintetik.
"Bahayanya dadah sintetik adalah kerana ia belum diklasifikasikan sebagai dadah berbahaya dan setiap hari mesti ada bancuhan dadah kimia baharu yang memberi kesan kepada masyarakat."
Mengenai dadah jenis baharu, Flaka, yang memasuki Indonesia baru-baru ini, Nur Jazlan berkata setakat setakat ini ia belum memasuki Malaysia dan kerajaan kini mengambil langkah berjaga-jaga dengan mewajibkan setiap bungkusan yang memasuki sempadan negara diimbas.
- Bernama

