Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ibrahim Mat Zin tamat menuntut ilmu fardu ain
Diterbitkan:  Dec 14, 2017 6:24 PM
Dikemaskini: 10:28 AM

Watak yang pernah menarik perhatian dengan gelagatnya menjunjung buah kelapa untuk mencari pesawat malang MH370, Ibrahim Mat Zin, menamatkan kelas fardu ain yang dikendalikan pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Dalam kenyataan hari ini mufti, Datuk Dr Zulkifli Mohamad, berkata Ibrahim mengikuti kelas asas itu selama enam bulan membabitkan pengajian al-Quran, akidah, fikah dan akhlak.

Pengajian itu, kata Zulkifli, dikendalikan beliau sendiri serta pegawai pejabatnya.

"Usahanya hadir secara konsisten sepanjang tempoh enam bulan ini wajar dipuji walaupun dalam keadaannya yang kadang kala kurang sihat," katanya.

Ibrahim mendakwa seorang bomoh dan selalu melakukan pelbagai aksi yang menarik perhatian.

Selain melakukan ritual aneh - dan lucu - mengenai kapal terbang milik Malaysia yang masih belum ditemui itu, Ibrahim turut pernah membuat persembahan di depan Institut Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur.

Kononnya dia mahu memagar Malaysia daripada ancaman Korea Utara selepas Kim Jong-nam mati diracun.

Orang suruh goyang

Ibrahim akhirnya ditangkap polis di sebuah hotel Segamat, Johor, pada 21 April lalu.

Dia yang menggelar dirinya sebagai Raja Bomoh kemudian mendedahkan semua aksi yang dilakukannya itu cuma lakonan semata-mata.

Malah, dia juga mendakwa kononnya menerima arahan daripada pihak tertentu - yang dirahsiakan identitinya - untuk melakukan aksi berkenaan.

“Goyang itu semua drama. Apa pun tak nampak. Jangan silap kata nampak kapal terbang ke... Saya dilatih suruh buat goyang, saya pun goyanglah,” katanya.

Selepas didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 11 Disember 2017 hakim memutuskan Ibrahim dibebaskan tanpa dilepas.

Dia bagaimanapun dikehendaki hadir ke pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sekali setiap bulan untuk diteliti perkembangannya mulai 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2018.

Dalam kenyataan hari ini Zulkifli berkata pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga perlu menyediakan laporan bulanan sepanjang tempoh berkenaan.

Ibrahim diberi amaran terakhir oleh makhamah supaya tidak terlibat lagi dalam sebarang aktiviti ritual yang bercanggah dengan syarak atau berdepan hukuman penjara dua tahun.

Zulkifli turut mendoakan usaha yang dilakukan ke atas Ibrahim membuahkan hasil dan membawa faedah kepadanya.

"Apa yang paling penting, beliau berjanji untuk menjadikan pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebagai rujukan utamanya dalam hal-hal berkaitan keagamaan," katanya.

Zulkifli juga berharap orang ramai tidak lagi memandang serong kepada Ibrahim, sebaliknya memberi sokongan kepada lelaki terbabit untuk berubah.

Fardu ain ialah pengajian membabitkan pengetahuan asas agama yang wajib ke atas seseorang yang baligh.

Antara ilmu yang dipelajari ialah mengenai sembahyang, puasa dan zakat.

Lihat Komen
ADS