DBKL kaji beri insentif jika kurangkan sampah
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang meneliti pelaksanaan pemberian insentif kepada penduduk taman perumahan sekitar Kuala Lumpur yang berjaya mengurangkan kadar pembuangan sisa pepejal.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata usaha itu bertujuan menggalakkan amalan kitar semula dan pengasingan sampah domestik, sekali gus mengurangkan kos pembelanjaan pengurusan sampah.
“Setiap hari, warga kota membuang hampir 3,000 tan sampah yang kebanyakannya terdiri daripada sampah domestik iaitu makanan dan sebanyak RM250 juta terpaksa dibelanjakan untuk menguruskannya,” katanya.
Beliau berkata DBKL ketika ini memperuntukkan sebanyak RM10,000 setahun untuk setiap persatuan penduduk di Kuala Lumpur dan berhasrat menambah jumlah itu sekiranya terdapat pengurangan kuantiti pembuangan sisa pepejal.
“Jika inisiatif insentif ini mula dilaksanakan nanti, penduduk boleh tentukan sama ada mereka mahu asingkan atau guna semula sampah tersebut untuk kegunaan lain,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Kesejahteraan Lestari ‘Beyond Cleanup’ 2017, di sini hari ini.
Mhd Amin Nordin berkata simposium dua hari itu yang bermula hari ini disertai antaranya badan bukan kerajaan, persatuan penduduk dan syarikat pengeluar teknologi hijau menjadi platform perkongsian ilmu mengenai pengurusan alam sekitar dan kebersihan setempat.
- Bernama

