story image
mk-logo
Berita
Rafizi sedia jumpa Abdul Rahman di mahkamah
Diterbitkan:  Dec 15, 2017 7:57 AM
Dikemaskini: 8:10 AM

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata beliau mengalu-alukan tindakan mahkamah ekoran dakwaannya berhubung Ekspo Negaraku, dan menganggapnya sebagai peluang untuk mendapatkan jawapan daripada menteri yang bertanggungjawab iaitu Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Rahman, menteri yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancang Ekonomi (EPU) - penganjur ekspo itu - semalam bahawa beliau telah melantik peguam untuk mengkaji tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap Rafizi.

"Beliau (Abdul Rahman) boleh bercakap dengan gah di luar, tetapi apabila masuk ke mahkamah, beliau akan ditanya dan jawapan beliau tertakluk kepada peraturan mahkamah.

"Sebab itu saya mengalu-alukan tindakannya. Saya dan barisan peguam akan bersedia dengan pelbagai soalan menarik," kata Rafizi dalam kenyataan.

Rafizi berkata antara soalan yang belum dijawab Abdul Rahman adalah berhubung dakwaannya yang kontrak menguruskan program itu yang bernilai RM37 juta tidak direkod dalam sistem perolehan awam, serta keperluan mengadakannya di saat rakyat berhadapan kos sara hidup yang tinggi dan cukai.

"Sehingga sekarang beliau belum menjawabnya," kata anggota parlimen Pandan itu lagi sambil menyifatkan tindakan undang-undang oleh Abdul Rahman sebagai cubaan mengalihkan perhatian orang ramai daripada isu sebenar.

Isu ini bermula 11 Disember lalu apabila Rafizi mendakwa ketua pegawai eksekutif Pico Integrated Exhibit Sdn Bhd, Raslan Dahlan, iaitu syarikat yang mendapat kontrak menguruskan Ekspo Negaraku, adalah abang kepada Abdul Rahman.

Ia dinafikan serta-merta oleh Abdul Rahman.

Rafizi dalam sidang media sehari kemudian memohon maaf kepada Raslan, tetapi pada masa sama mempersoalkan kos serta mendakwa penganugerahan kontrak itu tiada dalam rekod laman web perolehan EPU.

Pada hari sama, Abdul Rahman ketika menjawab di Dewan Negara berkata Ekspo Negaraku menelan belanja sebanyak RM37 juta, jumlah yang menurutnya berpatutan jika mengambil kira lokasi di Dataran Merdeka dan tempoh program iaitu sebulan.

Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS