Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rahman mulakan proses saman Rafizi
Diterbitkan:  Dec 14, 2017 4:28 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan melantik peguam untuk mengkaji segala ruang undang-undang yang boleh diambil terhadap Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Dalam kenyataannya hari ini Abdul Rahman berkata tindakan berkenaan diambil sebagai langkah menghentikan "fitnah" anggota parlimen Pandan terbabit.

"Berdasarkan keterangan dan tuduhan yang dilemparkan, saya melantik peguam Datuk M Reza Hassan dari Messrs Raja Riza & Associate untuk mengkaji tindakan undang-undang terhadap Rafizi untuk menamatkan fitnah berterusannya," kata Abdul Rahmah.

Kenyataan itu dibuat berdasarkan sidang media Rafizi berhubung penganjuran Ekspo Negaraku baru-baru ini.

Dalam kenyataannya Rafizi mendakwa ketua pegawai eksekutif syarikat yang menganjurkan program berkenaan ialah abang kepada Abdul Rahman.

Kata Abdul Rahman, Rafizi mendakwa beliau mengamalkan nepotisme dengan melantik saudaranya untuk mengendalikan ekspo berkenaan.

Pada sidang media 12 Dis Rafizi kemudian membangkitkan persoalan mengenai kos yang ditanggung kerajaan untuk menjayakan ekspo berkenaan.

Sudah dapat arahan

Ekspo Negaraku berlangsung di Dataran Merdeka selama sebulan mula 15 November lalu.

Bagaimanapun kenyataan Rafiz dinafikan Abdul Rahman dan Rafizi sudah meminta maaf kepada pegawai PICO Integrated Exhibits (M) Sdn Bhd itu yang dikenali sebagai Raslan Dahlan.

Kata Abdul Rahman sama seperti kenyataan pernah dibuat Rafizi sebelum ini, tuduhan terbaru itu adalah pembohongan terang-terangan yang tidak menguntungkan kedudukannya sebagai anggota parlimen.

"Dia beliau begitu yakin dan bersemangat ketika membuat dakwaan ini.

"Setelah mengulang-ulangi tuduhannya, Rafizi tentu sudah begitu percaya kepada pembohongannya sendiri," katanya.

Pada masa sama Abdul Rahman berkata beliau kecewa dengan tuduhan Rafizi bahawa ada pegawai Unit Perancangan Ekonomi (EPU) yang membocorkan maklumat tidak betul mengenai isu berkenaan.

Katanya dakwaan Rafizi itu dibuat sebagai cubaan Rafizi mewujudkan hubungan tidak baik antara beliau dan pegawai EPU.

Sementara itu M Reza berkata pihaknya mendapat arahan daripada Abdul Rahman untuk mengambil langkah undang-undang ke atas Rafizi.

"Kami diarahkan supaya meneruskan segala proses perundangan yang perlu bagi memastikan hak anak guam kali dilindungi undang-undang, termasuk - tetapi tidak terhad - memulakan prosidur perundangan pada kadar segera," katanya.

Lihat Komen
ADS