Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS puji kelantangan Najib dalam isu Baitulmaqdis
Diterbitkan:  Dec 15, 2017 4:33 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan pendirian tegas menentang tindakan Amerika Syarikat yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada Rabu lalu wajar dipuji dan dihargai semua pihak.

Portal Utusan Online melaporkan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kelantangan Najib pada sidang kemuncak luar biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Instanbul, Turki itu membuktikan kesungguhan Malaysia.

“Isu Baitulmaqdis ini membuktikan kepentingan memilih kerajaan yang komited kepada Islam untuk membela dan mempertahankan hak umat Islam.

“Mujurlah kita pergi (sidang kemuncak OIC) kerana itu saluran untuk kita bercakap dan tanda sensitiviti terhadap musuh.

“Kita harap kerajaan akan terus konsisten membela dan mempertahankan hak Palestin dan umat Islam serta tidak mengikut telunjuk AS dan sekutu-sekutunya,” katanya yang dipetik portal itu di Kota Bharu, hari ini.

Mohd Amar berkata, Malaysia adalah antara negara Islam yang berada di hadapan dalam isu berkenaan sedangkan masih terdapat beberapa negara Islam yang tidak mempunyai kesungguhan untuk menentang tindakan AS apabila mengambil pendekatan berdiam diri.

Najib berkata pada sidang kemuncak itu, beliau telah menyampaikan kenyataan bagi mewakili suara rakyat Malaysia dengan antaranya mengutuk dan menolak sekeras-kerasnya keputusan unilateral oleh Amerika Syarikat mengiktiraf Al-Quds Al-Sharif (Baitulmaqdis) sebagai ibu negara Israel.

Beliau juga dilaporkan berkata, Baitulmaqdis akhirnya hendaklah menjadi ibu negara Palestin.

Lihat Komen
ADS