Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menzahirkan ucapan takziah kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun atas kematian isterinya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, hari ini.

Allahyarhamah Puan Sri Azizah Hamdi, 58, menghembuskan nafas terakhir di PPUM pada jam 7.02 malam akibat sakit kanser.

Najib, yang ketika ini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Bahrain, turut mendoakan agar roh Azizah, yang menghidap kanser sejak tahun 2002, dicucuri rahmat.

"Takziah kepada Ketua Polis Negara Tan Sri @Fuzi_Harun dan keluarga atas pemergian isteri tercinta, Puan Sri Azizah Hamdi. Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat. Al-Fatihah," katanya menerusi laman Twitter hari ini.

Jenazah Azizah disembahyangkan di Surau Khalid Al-Walid, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam kira-kira 10 malam selepas tiba dari PPUM kira-kira 8.30 malam tadi untuk dimandi dan dikapankan di surau berkenaan.

Jenazah Allahyarhamah kemudian dibawa ke kampung halamannya di Rapat Jaya, Ipoh, untuk dikebumikan kira-kira 9 pagi esok.

Allahyarhamah, yang mengambil alih jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia pada 4 September lalu, meninggalkan tiga orang anak.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS