Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dituntut bertindak secara profesional dalam siasatan semula skandal pemberian tanah Kampung Sungai Yu, di Tanjung Karang Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan pihaknya mahu siasatan dilakukan tanpa campur tangan eksekutif atau semata-mata berdasarkan laporan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar.

“Seperti yang saya tegaskan, kita mahu agensi penguatkuasa termasuk SPRM bertindak secara profesional dan tidak dipengaruhi mana-mana tangan eksekutif.

“Ini bukan soal buka atau tutup (kes) tetapi bertindak secara profesional, jangan ikut arahan Noh Omar,” kata Azmin kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Masjid Seksyen 24, Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Noh yang juga Pengerusi BN Selangor semallam bahawa kerajaan negeri berfikiran sempit kerana mempertikai siasatan semula skandal pemberian tanah Kampung Sungai Yu, di Tanjung Karang oleh SPRM Putrajaya.

Noh berkata perkara itu tidak sepatutnya dibangkitkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Hannah Yeoh walaupun SPRM Selangor sebelum ini mengesahkan tiada kes berkaitan isu berkenaan.

Noh berkata langkah pihaknya menggesa siasatan semula oleh SPRM itu juga adalah susulan kenyataan dibuat Yeoh sendiri minggu lepas, selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai , Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT).

Katanya, Yeoh, yang juga ADUN Subang Jaya menyatakan pemberian milikan tanah kepada 175 individu terbabit tidak mengikut syarat yang ditetapkan.

'Umno khianati raja Melayu'

Sementara itu dalam perkembangan lain Azmin menyelar bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib kerana mempersoalkan sikap berdiam diri beliau berhubung kenyataan mengenai Bugis oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tegas Azmin, kenyataan Muhammad itu tidak lebih daripada cubaan Umno untuk mempolitikkan suasana politik Selangor hari ini.

"Kalau kita lihat pada 1993, yang merosakkan imej dan Institusi Raja-Raja adalah Umno sendiri, bukan parti-parti lain.

"Umno adalah pengkhianat kepada Institusi Raja-Raja Melayu,” katanya merujuk krisis perlembagaan pada tahun 1993.

Muhammad atau lebih mesra dengan panggilan Mat Taib baru-baru ini mempersoalkan mengapa Azmin berdiam diri walaupun Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah dua kali membangkitkan isu yang sama dalam tempoh sebulan.

Sultan Sharafuddin sebelum ini menegur bekas perdana menteri itu kerana dikatakan mempersendakan bangsa Bugis ketika menyampaikan ceramah politik pada Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi, Oktober lalu.

Bagaimanapun Mahathir menafikannya sebaliknya berkata kenyataan itu ditujukan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Teguran kali kedua itu menyaksikan Mahathir dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bertindak memulangkan semula dua Darjah Kebesaran yang masing-masing terima daripada Sultan Selangor.


 

Lihat Komen
ADS