Dana Transformasi Orang Muda manfaat 120,000 belia di T'ganu
Seramai 120,000 belia Terengganu bawah 40 tahun bakal mendapat manfaat daripada penambahan peruntukan Bajet Terengganu 2018 bagi Dana Transformasi Orang Muda (TOM) pada tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Rozi Mamat berkata peningkatan jumlah belia yang menerima insentif itu berlaku kerana penambahan peruntukan dana berkenaan iaitu daripada RM23 juta tahun ini kepada RM27 juta pada 2018.
"Untuk memohon dana TOM, kerajaan negeri bersetuju menaikkan pendapatan bulanan daripada RM2,000 kepada RM3,000...jadi, mereka yang gajinya bawah daripada jumlah itu layak memohon dana berkenaan pada tahun hadapan.
"Apa yang penting mereka lahir dan mengundi di Terengganu. Permohonan tersebut boleh diisi secara dalam talian di www.danattb.gov.my," katanya kepada pemberita selepas majlis Khatan Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong di Kuala Berang hari ini.
Seramai 100 kanak-kanak lelaki berumur tiga hingga 12 tahun diraikan pada majlis itu, yang turut dihadiri Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu Jalaluddin Ismail.
Permohonan Dana TOM 2018 dibuka pada 4 Disember lepas dan akan berakhir pada 4 Januari ini.
Bagi mereka yang layak, dana berkenaan akan mula diagihkan secara berperingkat mulai 27 Januari hingga 28 Oktober 2018.
Rozi yang juga ADUN Telemong menyifatkan Bajet 2018 yang dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman banyak memberi manfaat terutama kepada golongan belia di negeri ini.
"Kita boleh lihat semua peruntukan kepada golongan belia bertambah... kita boleh lihat adanya Dana Usahawan Belia dan Dana Perumahan Belia,” katanya.
- Bernama

