Tekun Nasional disaran tingkat pinjaman maksimum sehingga RM500,000
Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional disaran meningkatkan pinjaman maksimum sehingga RM500,000 bagi membantu lebih ramai usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memasarkan produk ke peringkat global sekali gus mengembangkan potensi perniagaan di luar negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata pinjaman maksimum RM100,000 ketika ini dilihat tidak mencukupi untuk membolehkan usahawan IKS di bawah bimbingan Tekun Nasional mengeksport produk keluaran mereka ke luar negara berikutan kos operasi yang semakin tinggi.
Beliau berkata langkah itu juga dapat membuka peluang dan ruang lebih besar kepada usahawan Tekun Nasional supaya tidak hanya memasarkan produk di kampung atau dalam negeri dan negara sahaja tetapi juga berupaya menembusi pasaran antarabangsa.
“Kita mahu melihat usahawan Tekun Nasional lebih maju. Jika Tekun Nasional berjaya mendidik mereka menjadi usahawan kecil-kecilan, maka, usahawan-usahawan ini perlu diberi sokongan dan bantuan untuk lebih berkembang dengan memasarkan produk ke peringkat global,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Karnival Tekun peringkat negeri di Kota Kinabalu hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah.
Karnival dua hari bermula hari ini itu diadakan bagi mempromosikan dan memasarkan produk serta perkhidmatan para usahawan Tekun Nasional selain platform meluaskan aktiviti rangkaian dan jaringan perniagaan para usahawan terlibat.
Kira-kira 5,000 pengunjung dijangka menghadiri karnival itu yang diadakan di Padang Merdeka, dekat sini.
Tajuddin berkata Tekun Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM4.9 bilion kepada hampir 400,000 usahawan di seluruh negara sejak agensi itu ditubuhkan.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM425.4 juta disalurkan kepada 41,062 usahawan di Sabah, katanya.
Tajuddin berkata rekod pembayaran balik pinjaman Tekun Nasional secara keseluruhannya memuaskan, dan Sabah adalah negeri yang mencatat rekod terbaik apabila hampir 100 peratus usahawan membayar balik pinjaman berkenaan.
Sementara itu, Musa ketika berucap berkata, kerajaan komited untuk terus membangunkan usahawan Bumiputera supaya lebih berdaya saing.
Bagaimanapun, katanya, usahawan perlu mengubah sikap ke arah lebih positif dan dinamik selain berminat menambah ilmu dalam pelbagai aspek pengurusan perniagaan.
“Kita tidak mahu usahawan Bumiputera tercicir dalam persaingan terutama dalam industri kritikal yang telah dikenal pasti selain terus bersiap sedia menghadapi pelbagai cabaran mendatang dalam usaha membentuk ekonomi Maju,” katanya.
Pada majlis itu, Musa turut menyampaikan anugerah usahawan cemerlang kepada 23 penerima dari setiap kawasan Parlimen di Sabah dan menyerahkan replika cek bernilai RM5.41 juta kepada wakil 207 usahawan Sabah yang menerima kemudahan pembiayaan Tekun Nasional.
- Bernama

