Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
AMANAH dakwa Bandar Baru Dabong kini jadi 'gajah putih'

Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan mendakwa projek pembangunan kerajaan negeri yang dilancarkan lima tahun lalu, Bandar Baru Dabong di Kuala Krai, kini tinggal sebagai projek 'gajah putih'.

Ketua Pemuda AMANAH Negeri Hazmi Hassan mendakwa kunjungannya ke tapak projek bawah kerajaan negeri itu semalam mendapati pembinaan kini terbengkalai.

"Saya mencari di mana 48 unit rumah teres kos sederhana rendah, 196 unit rumah teres kos sederhana, 56 unit rumah berkembar, 106 unit banglo dan 20 unit rumah kedai.

"Namun saya gagal menemui pembinaan baru, tiada satu pun pembinaan sedang dijalankan. Saya juga sempat bertanya penduduk setempat, mereka berkata tiada langsung perkembangan.

"Papan tanda yang sebelum ini tertera projek Bandar Baru Dabong juga kini sudah kosong," katanya (gambar) kepada Malaysiakini.

Projek tersebut hasil usaha sama anak syarikat kerajaan negeri, Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) dengan DPS Group of Companies dan dilancarkan bekas menteri besar allayarham Datuk Nik Aziz Nik Mat pada 8 Oktober 2012.

Ia terletak berhadapan kilang papan KPK di Kampung Stong, Kuala Krai.

Menurut laporan Harakahdaily 9 Oktober 2012, projek tersebut merangkumi kawasan seluas 45.6 hektar membabitkan pelaburan lebih RM40 juta.

Ia juga termasuk dalam manifesto PAS Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) 2008, kata laporan itu lagi.

Hazmi yang juga bekas aktivis PAS turut mendakwa KPK juga kini tidak diurus dengan baik.

"Saya sedih melihat KPK yang boleh dikatakan daif, tidak terurus dan berdepan risiko gulung tikar pada bila-bila masa, sedangkan sebelum ini ia berjaya memajukan ekonomi negeri.

"Mungkinkah ini lambang pentadbiran yang lemah dan tidak bertanggungjawab?" soalnya lagi.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi kerajaan Kelantan bagi mendapatkan reaksi mereka berkenaan dakwaan ini.

Lihat Komen
ADS