Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi jaminan akan memberikan kerjasama kepada siasatan pihak berkuasa berhubung dakwaan kebocoran maklumat sulit dalam kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif The Malaysian Insight (TMI) Jahabar Sadiq kepada mereka.

"Kita serahkan kepada siasatan memandangkan TMI sudah membuat laporan polis. Kami akan memberi kerjasama penuh kepada siasatan," kata SKMM kepada Malaysiakini menerusi emel.

Jahabar membuat laporan polis berhubung perkara itu Jumaat lalu.

Ia berikutan laporan yang disiarkan laman Malaysian Gazette yang memetik Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah berhubung dana yang diperolehi TMI.

Menurut Azwanddin, beliau menerima maklumat tentang perkara itu melalui aduan yang dibuat di laman mereka, dan maklumat itu dipercayai diberikan sumber dalaman TMI.

Beliau mendakwa terdapat keraguan berkenaan dana tersebut dan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jahabar pula mendakwa Azwanddin telah membocorkan dan memutarbelit beberapa fakta daripada kenyataannya kepada SKMM.

Terdahulu, perwakilan dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini menggesa agar laman itu disiasat kerana didakwa menghina pemimpin negara.

Perwakilan itu turut meminta pihak berkuasa menyiasat kedudukan salah seorang pengarah TMI, Puan Sri Faridah Begum K A Abdul Kader, yang juga kakak Jahabar dan isteri Peguam Negara Tan Sri mohamed Apandi Ali.